Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas 2 pusingan U, MB ke parlimen mahu jumpa PM
Diterbitkan:  Jul 10, 2019 11:33 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal hadir di bangunan Parlimen pagi ini untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini selepas kerajaan negeri membuat pusingan sebanyak dua kali mengenai definisi belia dalam tempoh 24 jam.

Ketika ditanya apakah dia akan bertemu perdana menteri, Sahruddin hanya menjawab: "Ya."

Walau bagaimanapun, beliau menafikan bahawa perjumpaan itu mengenai kontroversi tentang definisi 'belia'. Sebaliknya beliau menyatakan bahawa ia adalah mengenai perkara lain.

Sahruddin juga enggan mengulas mengapa kerajaan negeri Johor kembali mengambil keputusan untuk mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Mahathir sedang menghadiri sidang Parlimen hari ini untuk menjawab soalan mengenai Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Isnin lalu, melalui kenyataan pejabat menteri besar, kerajaan Johor mengumumkan untuk mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

Sahruddin telah berkata keputusan itu seiring dengan semarak cita-cita melalui penonjolan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang merupakan ciri serta citra orang muda.

Bagaimanapun, dalam kenyataan awal semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali memaklumkan mesyuarat exco kerajaan negeri yang bersidang pagi semalam tadi, menerima baik pindaan umur belia 15-30 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk mengikut arahan Putrajaya dan mentakrifkan 'belia' seperti yang berusia di antara 15 dan 30 tahun.

Namun pada hari yang sama, Sheikh Umar sekali lagi membuat pusingan U dan mengumumkan untuk mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan negeri mengubah pendiriannya selepas perkara itu dibangkitkan dan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan pada Isnin lalu.

Terdahulu hari ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut memaparkan gambarnya bersama Sahruddin dan Sheikh Umar.

 “Muafakat itu berkat. Allah berkati Johor,” tulis baginda.

Lihat Komen
ADS