Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Perak nafi rogol pembantu rumah
Diterbitkan:  Jul 10, 2019 2:45 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Exco Perak Paul Yong Choo Kiong menafikan dakwaan beliau merogol bekas pembantu rumahnya, dan berkata "terkejut dan keliru" dengan tuduhan tersebut.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan yang tidak berasas tersebut.

"Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Tronoh dari DAP itu berkata beliau telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan membawa saksi untuk membantu siasatan untuk menunjukkan dakwaan tersebut adalah fitnah.

"saya akan menghormati proses undang-undang yang sewajarnya dan percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus," katanya lagi.

Terdahulu peguamnya Leong Cheok Keng berkata Yong hadir ke balai polis semalam. Dia ditahan sehingga pagi tadi.

Ketua Polis Perak Rozarudin Husain berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada pengadu warga Indonesia berusia 23 tahun, yang mendakwa kejadian berlaku di rumah Yong di Meru, Ipoh.

Dia juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan kini diletakkan di tempat yang selamat sementara siasatan berjalan, kata Rozarudin.

Kes disiasat menigkut Seksyen 376 Kanun Kesalahan atas kesalahan rogol.

Susulan dakwaan itu, majlis angkat sumpah exco kerajaan Perak yang dijadual Khamis ditangguh ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Difahamkan mesyuarat exco yang sepatutnya hari ini turut ditangguh.

Yong, 49, ialah exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru.

Dia juga bendahari DAP Perak.

Sementara itu, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Melissa Sasaidaran berkata "tidak pelik" untuk suspek kes rogol diberi jaminan polis dan ia bergantung kepada keadaan, termasuk kerjasama yang diberikan suspek.

"Sementara itu, suspek tidak boleh dengan apa saja cara masuk campur dengan pengadu, saksi atau mengubah bukti. Jika ada dakwaan seumpama itu, ada kemungkinan dia akan ditahan semula," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS