Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-36 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan itu.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


6 petang - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.


Pengurus Unit Rentas AmBank dipanggil semula

5.05 petang - Mahkamah memanggil semula saksi pendakwaan ke-24, Pengurus Unit Pusat Kiriman Rentas AmBank Wedani Senen.

DPP Sulaiman Kho kemudian meneruskan pemeriksaan ketua pendakwa dari saksi, meminta dia untuk mengenal pasti dan mengesahkan beberapa salinan baru dokumen perbankan yang dijadikan pihak pendakwa sebagai bukti di mahkamah.

Mahkamah kemudian ditangguhkan, dengan Wedani diminta untuk kembali pada hari Isnin untuk meneruskan pemeriksaan balas oleh pihak pembela.


Pendakwaan akan semak dengan SPRM tentang akses Najib ke akaun bank

4.55 petang - Pihak pendakwaan akan memberi respons pada hari Isnin berhubung tuduhan Najib Razak bahawa beliau dinafikan maklumat mengenai akaun AmBanknya sendiri.

DPP V Sithambaram memberitahu mahkamah demikian, setelah peguam Muhammad Shafee Abdullah memfokuskan permohonan untuk perkara itu.

Shafee mendakwa Najib dihalang daripada mengakses butiran akaun AmBanknya sendiri sejak 15 Mei dan seterusnya, yang antara lain dikatakan menghalang Najib dari menyediakan hujah mempertahankan diri.

Sithambaram menjawab bahawa dia baru saja dimaklumkan mengenai perkara itu hari ini, dan akan menyemak dengan SPRM dan memaklumkan mahkamah pada Isnin depan.


Pendakwa dan pembela terus berbalas hujah

4.30 petang - Pendengaran disambung semula selepas rehat singkat, dengan pasukan pembelaan membuat permohonan lisan untuk menyoal saksi mengenai transaksi perbankan dari tahun 2013, apabila derma bernilai AS $ 600 juta dikreditkan ke akaun AmBank milik bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah dimaklumkan perkara itu ketika sedang bersedia untuk memanggil semula pengurus pemindahan Rentas AmBank Wedani Senin.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh berhujah bahawa ia relevan dengan kes itu bagi membuktikan sama ada Najib mempunyai pengetahuan tentangnya, dan niat untuk menggunakan, wang yang berasal dari SRC International yang dikreditkan ke dalam akaunnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwa membantah hujah pertahanan, dengan DPP V Sithambaram mengemukakan bahawa kebimbangan itu tidak relevan dan bukannya perkara yang dipertikaikan dalam tuduhan terhadap Najib.

Kedua-dua pihak terus berhujah di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selama kira-kira setengah jam, sebelum hakim memutuskan bahawa beliau hanya akan membenarkan butiran pemindahan kredit di Lampiran C disahkan oleh saksi pendakwaan.


Pihak pembelaan diberi masa teliti laporan data peranti yang disita

3.35 petang - Saksi ke-46 pendakwaan, pegawai Bank Negara Shuzairizman Shuib, diperintahkan untuk kembali pada hari Isnin.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan oleh peguam bela Harvinderjit Singh untuk meneliti laporan yang telah disediakan oleh pegawai itu.

Shuzairizman adalah seorang penganalisis yang terlibat dalam bahagian forensik digital di Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara.

Laporan itu mengandungi data digital yang diekstrak daripada peranti yang dirampasnya semasa serbuan Bank Negara di AmBank pada 6 Julai 2015 dan telah diterima oleh pasukan pembelaan beberapa jam yang lalu.

Seterusnya, DPP Ashraf Adrin Kamaril memberitahu mahkamah bahawa mereka akan memanggil semula saksi terdahulu, pengurus AmBank Wedani Senin. Mahkamah kemudian berehat 10 minit.


Pegawai Bank Negara nafi bocor mesej dalam BlackBerry pada 2015

3.27 petang: Pegawai Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Shuzairizman Shuib menafikan pernah membocorkan mesej dan emel dalam telefon BlackBerry, yang berkaitan dengan siasatan 1MDB pada 2015.

Saksi ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam Harvinderjit Singh ketika pemeriksaan balas.

Harvinderjit: Apa yang berlaku pada 2015, ada kebocoran mesej BB (BlackBerry), emel dan sebagainya, pesanan Whatsapp - dari mana ini semua datang?

Shuzairizman: Saya tak tahu.

Harvinderjit: Jika anda kata hanya anda dan SPRM ada (transkrip mesej daripada BlackBerry yang dirampas daripada pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu ada 2015), kebocoran bukan daripada pihak anda?

Shuzairizman: Yang pasti bukan daripada saya.

Pada 2015, Wall Street Journal menerbitkan beberapa laporan eksklusif memetik sumber di Malaysia yang antara lain berkenaan komunikasi yang bocor itu.


Peguam soal tentang penggeledahan di AmBank, pengambilan data

2.40 petang: Perbicaraan bersambung dengan peguam Harvinderjit Singh meneruskan pemeriksaan balas dengan penganalisis Bank Negara Shuzairizman Shuib.

Harvinderjit bermula dengan meneliti perkara berkenaan penggeledahan yang dibuat Bank Negara di AmBank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, di mana Shuzairizman merampas peralatan digital daripada tiga pegawai perhubungan bank itu.

Shuzairizman berkhidmat di seksyen forensik digital dalam Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara.

Soalan Harvinderjit juga berkenaan bagaimana Shuzairizman mengambil data daripada telefon BlackBerry milik Joanna Yu - salah seorang pegawai perhubungan AmBank - dan menjadikannya laporan bertulis.


1 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat dan akan bersambung pada pukul 2.30 petang.


Saksi: Data dari telefon pegawai AmBank untuk siasatan Jho Low

11.50 pagi: Pegawai Bank Negara Shuzairizman Shuib berkata dia mengambil data dari telefon Blackberry berdasarkan arahan mahkamah untuk membantu siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Telefon itu dirampas daripada pengurus perhubungan Ambank Joanna Yu pada 6 Julai 2015.

Saksi ke-46 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh DPP Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Shuzairizman, pegawai Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara, menjelaskan sebabnya mengambil data daripada telefon itu, yang disita daripada Yu ketika penggeledahan di AmBank Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Ashrof: Pada April dan Mei tahun itu (2015), anda terima maklumat daripada (pegawai Bank Negara Ahmad) Farhan (Sharifuddin)?

Shuzairizman: Ya, Farhan (yang mengetuai penggeledahan) beritahu saya ada arahan mahkamah, yang babitkan saya, untuk ambil maklumat daripada (aplikasi) BlackBerry Messenger.

Ashrof: Farhan ada jelaskan maklumat (yang dicari daripada telefon)?

Shuzairizman: Ya, dia ada tunjukkan nama.

Ashrof: Anda ingat nama-nama itu?

Shuzairizman: Joanna, Krystle, Daniel, dan Jho Low.

Selain Yu, Krystal Yap dan Daniel Lee antara nama yang muncul sebelum ini dalam keterangan berkenaan penggeledahan itu. Ketiga-tiganya pengurus perhubungan AmBank.

Low diburu berikutan dakwaan sebagai individu utama dalam skandal 1MDB, yang meliputi perbicaraan terhadap Najib ini melibatkan RM42 juta dana SRC International.


11.25 pagi: Perbicaraan diteruskan selepas rehat seketika dengan saksi pendakwaan seterusnya, pegawai Bank Negara Malaysia Suzairizman Shuib.

Suzairizman, seorang penganalisis di Seksyen Forensik Digital Bank Negara, adalah orang yang merampas peralatan digital daripada tiga pegawai Ambank - Joanna Yu, Crystal Yap dan Danial ketika operasi pada 6 Julai 2015.

Peralatan itu termasuk telefon Blackberry yang dirampas daripada Yu.


'Walau diminta guna proses biasa, SRC buat permohonan pinjaman kepada Najib'

10.45 pagi: Walaupun diberitahu untuk menjalani proses biasa bagi memohon pinjaman daripada KWAP, SRC International masih membuat permohonan secara terus kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, pada 2011.

Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata demikian ketika pemeriksaan semula dengan DPP Suhaimi Ibrahim.

Suhaimi: Merujuk Perenggan 16 dalam Keterangan Saksi, di mana Tan Sri kata beritahu (pegawai khas Najib ketika itu) Azlin Alias tentang usaha SRC untuk mendapatkan pinjaman, Tan Sri kata SRC perlu lalui proses normal, dengan menulis secara rasmi kepada Azian (Mohd Noh, CEO KWAP ketika itu). Dalam kes ini, permohonan itu ialah pinjaman pertama SRC (RM2 bilion pada 2011).

Walaupun dengan respons itu, kepada siapa permohonan itu dibuat?

Aziz: Permohonan kepada Najib Razak.

Suhaimi: Ia dibuat kepada perdana menteri ketika itu, bukan Azian.

Aziz: Ya.


10.30 pagi: Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Wan Abdul Aizz Wan Abdullah berkata tidak salah untuk Kementerian Kewangan meminta Kumpulan Dana Persaraaan Diperbadankan (KWAP) memberikan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International pada 2012 sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan.

Ketika pemeriksaan balas dengan ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, saksi ke-45 untuk setuju bahawa kerajaan sebelum ini meneruskan projek sebelum kertas kerja dimuktamadkan.

Mahkamah diberitahu, ini termasuklah projek di bawah perdana menteri sebelumnya, seperti projek Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) yang mana beberapa hotel di pulau itu dibina sebelum proses pemerolehan tanah selesai.

Shafee meminta Aziz membandingkan projek-projek sebelum ini dengan surat Kementerian Kewangan yang meminta KWAP menimbang untuk memberikan pinjaman kepada SRC International sebelum jaminan kerajaan dikeluarkan.

Shafee: (Merujuk surat Kementerian Kewangan) Bukankah ini isu sama - kerajaan beritahu sebuah entiti bahawa kertas kerja akan menyusul, tetapi timbang untuk beri (pinjaman) dulu? Tak sama (dengan kes lain), tetapi seakan-akan (analogous)?

Aziz: Ya.

Aziz juga setuju bahawa hampir tiada risiko untuk KWAP memberikan wang pinjaman terlebih dulu, kerana perkara itu melibatkan tiga entiti berkaitan kerajaan.


'Najib bantah SRC mahu luaskan terma pinjaman'

10.14 pagi: Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah setuju dengan cadangan pembelaan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak membantah usaha SRC International untuk meminda tujuan pinjaman RM2 bilion kedua daripada KWAP.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Farhan Read, Wan Abdul Aziz yang juga bekas ketua setiausaha perbendaharaan berkata ia berkaitan mesyuarat antara KWAP, SRC International dan Kementerian Kewangan, pada 12 April 2012.

Farhan: Mesyuarat ini, tidak betul untuk katakan ia dibuat bagi persediaan (meluaskan tujuan pinjaman) berkenaan perkara ini. Mesyuarat ini berlaku kerana satu percanggahan (berkenaan tujuan pinjaman) yang dibangkitkan jabatan perundangan.

Aziz: Ya.

Farhan: (Ini ialah) mesyuarat di mana SRC mahu terma (tujuan pinjaman) diluaskan tetapi tidak dipersetujui (pihak lain)?

Aziz: Ya.

Farhan: Najib 'tak okey' dengan permintaan SRC untuk meluaskan terma?

Aziz: Ya.

Aziz juga setuju dengan kenyataan Farhan bahawa Najib tiada niat untuk meluaskan terma, atau ada sebab jahat di sebalik percangghana, kerana ia boleh jadi masalah di peringkat perkeranian (clerical).

Dia merujuk dakwaan percanggahan berkenaan tujuan pinjaman RM2 bilion kedua yang dipersetujui Kabinet pada Februari 2012, ketika ia meluluskan untuk memberi jaminan kerajaan kepada SRC.


Saksi: Tiada sebab ragui tandatangan Najib di dokumen SRC

9.30 pagi: Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata panel pelaburan badan itu yakin dengan keaslian tandatangan Najib Razak di dokumen yang diterima daripada SRC International pada 2012.

Dalam sesi pemeriksaan balas dengan pegaum Farhan Read, dia setuju bahawa pihaknya tiada sebab untuk meragui tandantangan bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu pada resolusi pekeliling lembaga pengarah, yang memberi lampu hijau kepada permohonan syarikat untuk meminjam RM2 bilion lagi daripada KWAP.

Tandatangan Najib itu dikatakan menjadi sokongan untuk permohonan pinjaman tambahan SRC.

Bagaimanapun Aziz juga setuju bahawa dia tidak melihat sendiri Najib menandatangani surat tersebut, dan tidak boleh mengesahkan sama ada dia memang menandatanganinya.


9.08 pagi: Perbicaraan bermula dan Najib Razak masuk ke kandang tertuduh.

Turut dilihat ialah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah bersama peguam-peguam lain, serta Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pendakwaan.


Pasukan peguam Najib Razak hari ini hanya ada masa sehingga pukul 12 tengah hari untuk menyelesaikan pemeriksaan balas dengan bekas pengerusi Kumpulan Dana Persaraaan Diperbadankan (KWAP), Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Justeru pihak pembelaan dijangka mengemukakan soalan-soalan yang lebih kemas terhadapnya.

Antara bahagian keterangan saksi yang mungkin menjadi tumpuan mereka ialah berkenaan pertemuan dengan Najib pada akhir 2011.

Ini amat penting kerana susulan pertemuan itu, KWAP mengubah keputusan asal untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada SRC International kepada RM2 bilion.

KWAP ialah dana persaraan untuk penjawat awam, manakala SRC International anak syarikat 1MDB.

Satu lagi mungkin disoal ialah keterangan lisan Aziz bahawa RM4 bilion yang dipinjamkan kepada SRC International antara 2011 dan 2012, tidak boleh digunakan untuk kerja sosial, kebajikan, kegiatan politik dan kegunaan peribadi, kerana bertentangan dengan perjanjian pinjaman.

Lihat Komen
ADS