Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

V Mabel Muthayyah, bekas ketua sekretariat di Jabatan Peguam Negara, telah memfailkan tuntutan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mengenai artikel pada 2015.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, peguam Mabel, David Gurupatham berkata Rewcastle-Brown disaman kerana "tuduhan yang sangat serius yang ditimbulkan terhadap seorang anggota pentadbiran keadilan."

"Tuntutan RM100 juta itu termasuk ganti rugi teruk dan teladan terhadap Rewcastle-Brown, bersama-sama dengan perintah injunksi menghalang meneruskan fitnah, serta perintah mandatori untuk menghapuskan hantaran itu daripada (terus disiarkan) laman web tersebut," katanya.

Artikel Sarawak Report yang dimaksudkan bertajuk "How AG's Office connived to prevent a second postmortem on Kevin Morais - Exclusive exposé" (Bagaimana Pejabat AG bersubahat menghalang bedah siasat kedua terhadap Kevin Morais - Pendedahan eksklusif).

Artikel berkenaan mendakwa Mabel menghantar mesej teks kepada ahli keluarga mendiang timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais, mendesak mereka untuk mempercepat pembakaran mayatnya bagi mengelakkan bedah siasat kedua.

Menurut artikel itu lagi, apabila bujukan tersebut gagal, rasuah telah ditawarkan dan ancaman telah dibuat.

Gurupatham (gambar) berkata bahawa saman itu difailkan selepas sepucuk surat dihantar kepada Rewcastle-Brown menuntut permintaan maaf secara umum.

Jelas peguam itu lagi, editor laman Sarawak Report enggan menerima surat tuntutan undang-undang tersebut.

"Kami hantar surat kepada peguamnya di Kuala Lumpur tetapi mereka memulangkan dokumen iu kepada kami, berkata mereka tidak mendapat arahan untuk 'menerima khidmat itu'. Baik, tiada masalah.

"Jadi kami menghantar surat ke emelnya dan satu lagi salinan melalui perkhidmatan kiriman ke alamat (Rewcastle-Brown) di London.

"Bagaimanapun, kami menerima pengesahan daripada syarikat perkhidmatan kiriman beberapa hari lalu bahawa 'penerima enggan menerima hantaran'," katanya.

Ketika ditanya kenapa anak guamnya mengambil masa empat tahun untuk memulakan tindakan undang-undang, Gurupatham berkata Mabel memfailkan laporan polis pada bulan Disember 2015 tetapi enggan melanjutkan perkara itu berikutan penyiasatan yang berterusan terhadap kes pembunuhan Morais.

Mabel kini menjadi hakim di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya.

Gurupatham berkata Rewcastle-Brown telah mengarang cerita daripada tangkap layar mesej WhatsApp antara Mabel dan adik mendiang Kevin Morais.

Peguam itu juga mendakwa Rewcastle-Brown tidak pernah menghubungi Mabel untuk mendapatkan pengesahan mengenai tuduhan itu.

"Anak guam kami menghormati kewartawanan siasatan, namun ia mesti dilakukan dengan cara yang bertanggungjawab.

"Mereka (Sarawak Report) tahu siapa (Mabel) dan di mana dia berada. Mereka boleh bertanya mengenai tuduhan itu, tetapi mereka tidak pernah melakukannya.

"Itu tidak bertanggungjawab, mereka juga tidak mengesahkan dakwaan serta mesej WhatsApp dengan anak guam kami," katanya.

Mayat Morais dijumpai disumbat di dalam guni dan disimen di dalam tong dram selepas diculik dari keretanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.

Seorang bekas tentera dan lima yang lain telah didakwa atas pembunuhannya.

Malaysiakini sedang menghubungi Rewcastle-Brown bagi mendapatkan maklum balasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS