Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Chai arah saya bayar RM2j kepada syarikat berkait Ku Nan'
Diterbitkan:  Jul 11, 2019 9:22 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

KES KU NAN | Pengurus kewangan sebuah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Pengarah Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong mengarahkannya membuat bayaran RM2 juta kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd, syarikat yang Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai saham terbesar.

Lai Vui Kiong, 59, yang bekerja di Syarikat Sinerjuta Sdn Bhd dari 2013 hingga 2016 milik Chai, berkata beliau tidak mengetahui tujuan baucar bayaran itu dibuat dan tidak pasti sama ada syarikat Tadmansori Holdings mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Aset Kayamas.

"Syarikat ini (Tadmansori Holdings) bukanlah syarikat yang kerap kali untuk dibuat bayaran bulanan," katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-6 perbicaraan kes rasuah RM2 juta Tengku Adnan yang merupakan bekas menteri Wilayah Persekutuan.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata setelah menerima arahan daripada Chai, beliau kemudian menyemak akaun bank Aset Kayamas di Bank Hong Leong dan mendapati baki wang dalam bank itu mencukupi untuk membuat bayaran tersebut.

"Setelah menyemak payment voucher (baucar pembayaran) tersebut, saya berpuas hati dan saya telah serahkan kepada Tan Sri Chai Kin Kong untuk diluluskan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Firdaous Mohamed Idris.

Lai yang antaranya bertanggungjawab memantau kedudukan kewangan semua syarikat pembinaan milik Chai, seterusnya mengesahkan bahawa tandatangan di bahagian 'verified by' (disahkan oleh) pada baucar bayaran berkenaan adalah tandatangan ringkas miliknya, namun beliau tidak ingat siapa yang menyediakan dokumen itu.

"Tandatangan ringkas pada bahagian 'prepared by' (disediakan oleh) saya pernah lihat sebelum ini dan tandatangan pada approved by (diluluskan oleh) adalah milik Tan Sri Chai Kin Kong," katanya.

Ketika ditanya peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan semasa pemeriksaan balas, sama ada saksi itu mengetahui Chai menggunakan RM2 juta tersebut untuk sumbangan politik, Lai menjawab: "Saya tidak tahu".

"Bila kamu terima arahan (buat bayaran RM2 juta) daripada Tan Sri (Chai), ada tanya tak tujuan bayaran tersebut," tanya Tan.

"Saya tidak tanya Tan Sri untuk apa," jawab Lai.

Lai turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada butiran pada baucar bayaran untuk cek RM2 juta itu.

Disoal Mohammad Firdaous semasa pemeriksaan semula, mengapa ada pengecualian butiran dalam baucar bayaran untuk RM2 juta itu, Lai menjawab: "Ini arahan daripada bos (Chai)".

Mohammad Firdaous: Mengapa tidak dinyatakan butiran di dalam baucer bayaran, adakah tiada hubungan perniagaan antara Tadmansori Holdings dengan Aset Kayamas?

Lai: Tiada dokumen sokongan diserahkan kepada kami.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Selasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS