Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman lucut hak SPRM: Yayasan Rahah mahu selesai luar mahkamah

Lembaga pemegang amanah Yayasan Rahah, yang dinamakan dalam saman pelucuthakan sivil SPRM berkaitan 1MDB, mahu penyelesaian luar mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu tentang perkara itu pagi ini ketika wakil perundangan kedua-dua pihak menghadiri sebutan kes di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam kerajaan Nik Haslini Hashim memberitahu mahkamah yang SPRM menerima surat daripada Yayasan Rahah yang memaklumkan perkara itu pada 9 Julai lalu.

"Yang arif, pemohon (kerajaan) menghantar notis usul dan afidavit sokongan pada 27 Julai, manakala affidavit of service dihantar kepada mahkamah pada 26 Jun.

"Bagaimanapun, pada 9 Julai, pemohon menerima surat daripada responden (Yayasan Rahah) berkenaan tawaran untuk penyelesaian," katanya.

Peguam Yayasan Rahah, Amin Othman (gambar, atas) mengesahkan anak guamnya membuat tawaran itu.

Untuk rekod, Yayasan Rahah - yang dinamakan sempena ibu bekas perdana menteri Najib Razak, Rahah Mohammad Noah - menjalankan program kebajikan dan pendidikan untuk kanak-kanak dan Orang Asli.

Yayasan itu antara 41 entiti dan indidivu yang dinamakan SPRM dalam saman sivil untuk melucuthak aset bernilai RM270 juta.

Menurut dokumen mahkamah, saman terhadap Yayasan Rahah melibatkan pelucuthakan RM839, 489.82.

Nik Haslini kemudian memohon mahkamah untuk menetapkan satu lagi tarikh bagi pengurusan kes kerana tawaran itu perlu dirujuk kepada pengarah pendakwaan SPRM untuk tindakan lanjut.

Hakim menetapkan 26 Julai ini untuk kedua-dua pihak kembali ke mahkamah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Amin mengesahkan arahan untuk penyelesaian luar mahkamah adalah daripada lembaga pemegang amanah Yayasan Rahah.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan apa yang ditawarkan yayasan itu untuk menyelesaikan perkara itu.

"Saya tak boleh dedahkannya, untuk tidak menjejaskan penyelesaian," katanya lagi.

Umno Pekan mahu batalkan saman

Sebutan kes hari ini melibatkan Umno Pekan. Peguam yang mewakili Umno Pekan dan pengerusi biro pendidikan Ibrahim Awang Ismail bahawa anak guam mereka akan mencabar saman SPRM.

Menurut M Reza Hassan, yang mewakili Umno bahagian itu, anak guamnya akan memohon membatalkan saman itu atas asas teknikal.

Peguam Ibrahim, Amin Othman juga menyebut sebab teknikal dan merit sama sebagai asas kepada permohonan anak guamnya.

Saman terhadap Pekan Umno dan Ibrahim melibatkan pelucuthakan RM700,000 dan RM100,000.

Mereka juga meminta mahkamah tidak membenarkan SPRM menerbitkan notis untuk pihak ketiga untuk mencabar saman itu.

Bagaimanapun ia dibantah Nik Haslini, yang berkata pihaknya tidak menerima permohonan pembatalan saman.

Selepas mendegar hujah kedua-dua pihak, Nazlan menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan Umno Pekan, dan 2 Ogos untuk permohonan Ibrahim.

Berkenaan saman terhadap Anggota Parlimen Maran Ismail Abd MUttalib, Nik Haslini berkata Ismail tidak akan mencabar saman SPRM untuk melucuthak RM100,000 daripadanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonannya untuk menerbitkan notis untuk pihak ketiga bagi mencabar saman terhadap Ismail, dan menetapkan 13 September untuk pengurusan kes.

Nazlan juga membenarkan permohonan sama oleh Nik Haslini terhadap empat lagi yang disaman SPRM, iaitu Umno Kedah, Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan Habib Jewels Sdn Bhd.

Lihat Komen
ADS