Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had umur 18: K'jaan perlu fokus pendidikan kenegaraan anak muda
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Kerajaan perlu memberi fokus kepada kesedaran ataupun pendidikan mengundi kepada golongan muda khususnya yang berumur 18 tahun selaras dengan pindaan perlembagaan bagi menurunkan had usia mengundi.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Dr Mizan Mohammad Aslam, berkata ia penting bagi memastikan anak muda faham tanggungjawab dalam pembinaan negara dan bukannya mengundi sekadar untuk berseronok.

"Paling penting adalah pendidikan untuk memastikan anak muda ini memahami tanggungjawab mereka dalam proses pengundian, bukan sekadar seronok celup jari dan kemudian memuat naik di laman sosial.

"Pendidikan ini perlu bermula di peringkat persekolahan lagi, secara tidak langsung kerajaan perlu memasukkan topik besar subjek berkait kenegaraan.

"Subjek itu tidak ada di sekolah kecuali di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau universiti," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang baru - dengan tambahan untuk pendaftaran pengundi automatik.

RUU itu juga untuk meminda Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur untuk menjadi anggota Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

RUU itu dijangka akan dibahaskan di peingkat dasar, serta bacaan kedua, pada 16 Julai ini.

RUU asal - yang hanya menurunkan had umur mengundi dari 21 ke 18 tahun - dibentang untuk bacaan pertama pada 3 Julai lalu, sebelum ditarik balik apabila pembangkang meletakkan dua syarat - memasukkan pendaftaran undi automatik dan menurunkan had umur untuk menjadi anggota Dewan Rakyat. 

Selesaikan masalah 4 juta belum daftar undi

Bagi bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan had usia mengundi serta pendaftaran mengundi secara automatilk.

Katanya, keputusan itu dijangka mampu menyelesaikan isu 4 juta pengundi belum berdaftar selain kefahaman perlu diberikan kepada anak muda khususnya mereka yang buat pertama kali mengundi.

"Pendaftaran secara automatik ini menyelesaikan masalah 4 juta mereka yang layak yang masih belum berdaftar, tanggungjawab SPR seterusnya adalah mengenal pasti mereka yang layak mengundi.

"Misalnya, mereka yang muflis atau berdepan hukuman penjara tidak layak untuk mengundi dan ini menjadi tugas SPR untuk mengenal pasti.

"Semua pihak, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik perlu memainkan peranan memberi kesedaran kepada pengundi muda.

Sementara itu, Presiden Majis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha pertubuhan itu sudah mengorak langkah bagi memberi kesedaran politik kepada anak muda.

"Kami sudah mula mengorak langkah berkenaan dengan mewujudkan program Sekolah Politik MBM untuk memberi pendedahan berkenaan pendidikan demokrasi kepada belia khususnya ahli didalan persatuan belia.

"Diharapkan agar satu usaha untuk melihat semula kurikulum di sekolah berkenaan pendidikan demokrasi diadakan dengan sesegera mungkin oleh kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS