Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita dakwa TNB batal tawaran kerja sebab BMI 'terlalu tinggi'

Seorang perempuan menuduh Tenaga Nasional Bhd menarik balik tawaran kerja kepadanya kerana memiliki tahap indeks jisim tubuh (BM) lebih 30.

BMI ialah ukuran yang mengambil kira ketinggian dan berat badan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka yang memiliki BMI lebih 30 dianggap sebagai "obes".

Wanita berusia 27 tahun itu memberitahu Malaysiakini, seorang pengurus sumber manusia TNB menghubunginya menerusi WhatsApp untuk memberita dia terpilih untuk jawatan eksekutif selepas temuduga bersama panel bulan lalu.

Bagaimanapun tawaran itu dibatalkan selepas pemeriksaan kesihatan mendapati BMI-nya pada tahap 38, walaupun pemeriksaan sama mengatakan dia "sesuai" untuk jawatan itu.

"Tiada kaitan antara berat badan saya dan prestasi kerja.

"Saiz seseorang tidak penting dan seharusnya begitu. Tiada siapa yang patut melalui hal ini," katanya.

Dia enggan mendedahkan identitinya kerana takut dengan stigma.

Katanya, dia tidak diberitahu berkenaan syarat BMI ketika proses pemilihan tetapi kemudian dimaklumkan seorang lagi calon turut ditolak atas sebab sama.

Selepas makluman daripada pengurus sumber manusia itu, dia menulis surat rayuan dan meminta "tempoh percubaan" atau "tawaran bersyarat" untuk menurunkan berat badan dan tahap BMI, tetapi tiada maklum balas daripada TNB.

Berbanding menghukum calon dengan berat badan tinggi, dia berkata syarikat sepatutnya meminda kontrak atau insurans sewajarnya untuk membolehkan semua ada peluang sama untuk bersaing di padang sama rata.

"Syarikat patut tumpu kepada merit dan kualiti kerja seorang calon tanpa mengenakan sebarang bentuk diskriminasi, sama ada kaum, jantina, orientasi seks dan saiz.

"Gemuk bukan penghalang dan tiada kaitan langsung dengan prestasi kerja saya," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, TNB berkata pihaknya akan memberi respons berhubung dakwaan itu nanti.

Tindakan undang-undang sukar

Ini bukan contoh pertama diskriminasi kerja berdasarkan berat badan.

Pada 2017, Malaysia Airlines memecat tiga pramugara dan dua pramugari selepas berat badan meningkat. Seorang pramugara berketinggian 175cm dan berat 80kg ketika dipecat.

Peguam dengan pengkhususan undang-undang pekerjaan Donovan Cheah, berkata walaupun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi, tetapi dalam konteks tempat kerja ia hanya terhad kepada "agama, kaum, keturunan, tempat lahir dan jantina".

Donovan Cheah

"Berat badan bukan ciri yang dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Maka sukar untuk pekerja yang mengambil tindakan undang-undang berjaya melawan majikan atas sebab diskriminasi berat," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, cadangan pindaan terhadap Akta Pekerjaan bertujuan melarang majikan mendiskriminasi pemohon pekerjaan atas dasar jantina, agama, kaum, kekurangan upaya, bahasa, status perkahwinan dan kehamilan.

"Bagaimanapun, sebarang perbezaan, peminggiran atau pilihan berhubung sesuatu pekerjaan berdasarkan syarat (pekerjaan) tidak boleh dianggap sebagai diskriminasi.

"Jika pindaan itu diluluskan, kecil kebarangkalian untuk berat badan diletakkan di bawah ciri yang dilindungi, kecuali ia boleh dikaitkan dengan 'kekurangan upaya'," katanya lagi.

Obesiti biasanya dilihat dari sudut pandang kesihatan. Pada 2013, American Medical Association menakrifkannya sebagai penyakit.

Baru-baru ini, iklan untuk biasiswa kesenian oleh Japan Foundation Kuala Lumpur mengundang kritikan kerana menyatakan "secara prinsip", mereka yang mempunyai "penyakit kronik", termasuk obesiti, tidak akan diterima.

Japan Foundation Kuala Lumpur enggan mengulas perkara itu.

Bagaimanapun, difahamkan sekatan itu hanya untuk pemohon yang sakit kronik dan obes yang perlu sentiasan mengambil ubat.

Ini kerana undang-undang Jepun sangat ketat dalam soal membawa ubat masuk ke negara itu, dan pertubuhan itu tidak dapat menanggung kos perubatan di sana.

'Fatfobia penyakit masyarakat'

Penulis dan penyelidik Nadia Mohd Rasidi baru-baru ini memulakan jaringan "fat positivity" untuk menyokong mereka yang didiskriminasi akibat berat badan.

Menurutnya, mereka yang memiliki berat badan tinggi dimalukan dan didiskriminasi kerana 'fatfobia' dalam masyarakat.

Penggunaan BMI sebagai ukuran juga bermasalah kerana ia bukannya untuk mengukur kesihatan individu tetapi populasi, katanya.

"Obes menjadikan ciri neutral, 'gemuk', kepada sesuatu yang menakutkan, bahaya dan perlu dibasmi. Tetapi membasmi obesiti bermaksud membasmi orang gemuk.

"Orang menjadi gemuk atas pelbagai sebab - kesihatan, gen, persekitaran, pilihan peribadi - dan perkara-perkara ini tidak boleh menjadi lesen untuk orang lain berkata 'saya boleh layan anda dengan teruk dan malukan anda kerana tidak mencapai piawaian saya'," katanya lagi.

Kata Nadia, "tidak mengejutkan" apabila majikan tidak berpihak kepada pemohon yang gemuk kerana masyarakat dilazimkan untuk menyamakan kegemukan dengan kebolehan yang rendah.

"Orang gemuk, terutama perempuan, perlu kerja keras daripada orang dengan badan biasa untuk membuktikan kita bijak dan kuat untuk digunakan kapitalisme, dan badan tidak menghalang kita untuk memberikan kerja yang bernilai," katanya lagi.

Pemohon 'berat badan normal' lebih disukai

Tinjauan di kalangan 2,000 profesional sumber manusia di United Kingdom oleh majalah Personnel Today pada 2005 mendapati 93 peratus akan memilih pemohon dengan "berat badan biasa" berbanding mereka yang obes, walaupun dengan kebolehan yang sama.

Satu pertiga daripada responden pula berkata penolakan calon obes atas sebab kesihatan tidak salah, sementara 11 peratus percaya obesiti ialah asas untuk pemecatan.

Keadaan tidak berubah sejak itu.

 Pada 2017, laman cari kerja Amerika Syarikat Fairybodboss terhadap 500 pengurus pengambilan kerja, dan mereka ditunjukkan gambar seorang wanita dengan berat badan berlebihan. Hanya 15.6 peratus yang berkata akan mengambilnya.

Satu daripada lima responden menyifatkan pemohon perempuan itu sebagai "pemalas" dan "tidak profesional" hanya berdasarkan gambar itu.

Nadia berkata orang memandang remeh diskriminasi berat badan kerana salah faham bahwa golongan itu memilih untuk menjadi obes, menolak faktor biologi, psikologi dan sistemik seperti peluang untuk mendapatkan makanan rendah kalori dan berkhasiat dengan harga berpatutan, dan ruang awam yang selamat untuk bersenam.

"Ia menukar satu masalah sistemik kepada masalah individu, dan golongan ini dibiarkan merasakan diri mereka gagal," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS