Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'40 barang kemas lesap': Firma Lubnan mungkin lepas pandang - Polis

Polis tidak menolak kemungkinan membenarkan firma tukang berlian Lubnan untuk memeriksa barang rampasan dalam jagaan pihak berkuasa itu.

Ini susulan dakwaan firma tersebut bahawa 40 daripada 44 barang kemas yang dihantar kepada isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor telah gagal dikesan.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, SAC Khalil Azlan Chik memaklumkan pihaknya bersedia membenarkan firma Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk memeriksa barang kemas yang dirampas dari kediaman berkait Najib Razak.

"Kita tak ada masalah untuk bagi firma berlian itu periksa semula barang-barang yang dirampas, tapi itu bergantung pada arahan mahkamah, dan kalau ada permintaan dari pihak tukang berlian itu di mahkamah," kata Khalil kepada Malaysiakini hari ini.

Sekiranya mahkamah mengeluarkan perintah itu, jelas Khalil polis akan membenarkan barangan kemas itu diteliti secara langsung dan bukan diperiksa melalui gambar seperti sebelumnya.

Menurutnya, pada masa lalu atas faktor keselamatan firma itu cuma dibenarkan melihat gambar.

"Kenapa kita tak bagi dia periksa barang kemas dalam jagaan polis itu dulu? Sebab isu keselamatan. Kalau barang hilang walaupun sebentuk cincin, nanti susah.

"Dan sebab takde prosedur pun untuk bagi dia periksa barang-barang tersebut. Sebab itu kita bagi dia periksa gambar saja," katanya.

Semalam, peguam David Gurupatham (gambar) yang mewakili Global Royalty berkata anak guamnya cuma menemukan empat barang saja selepas memeriksa gambar berkenaan.

"Kami mengatakan pada kenyataan tuntutan saman yang dipinda bahawa cuma empat barangan sahaja yang berada di bawah jagaan pihak polis.

"Empat barangan kemas itu ialah cincin bertatah berlian berbentuk pir bernilai AS325,000, cincin bertatah berlian berbentuk oval, gelang bertatah berlian berbentuk oval (AS$444,000) dan gelang bertatah berlian zamrud (AS$220,500)," katanya kepada Malaysiakini.

Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun tahun lalu untuk memulangkan 44 barang kemas berkenaan atau membayar tuntutan kepada firma Lubnan itu sebanyak AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman ini pada 17 September dan dari 21 ke 24 Oktober depan serta 19 Ogos bagi pengurusan kes di Kuala Lumpur.

Khalid berkata polis hanya membenarkan firma itu membuat pemeriksaan dengan melihat gambar barang rampasan atas faktor keselamatan.

"Kenapa kita tak bagi dia periksa barang kemas dalam jagaan polis itu dulu? Sebab isu keselamatan. Kalau barang hilang walaupun sebentuk cincin, nanti susah.

"Dan sebab tiada prosedur pun untuk bagi dia periksa barang-barang tersebut. Sebab itu kita bagi dia periksa gambar saja," kata penolong kanan pesuruhjaya polis itu.

Menurut firma Lubnan itu, barang kemas berkenaan dihantar ke Rosmah pada Februari 2018, tiga bulan sebelum PRU14 yang menyaksikan suaminya disingkirkan daripada kekuasaaan.

Susulan pilihan raya, polis menyerbu rumah Najib dan beberapa kediaman lain berkaitan penyiasatan pasukan itu terhadap skandal 1MDB.

Dalam serbuan itu, selain rampasan barang kemas, beg tangan mahal, jam tangan dan kaca mata, wang tunai dalam berbagai mata wang serta kenderaan juga turut disita.

Terdahulu, Global Royalty Trading berkata barang kemas itu telah dihantar serta telah disahkan dan diterima syarat-syaratnya dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas berkenaan.

Selanjutnya, Rosmah pada surat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengesahkan dan memperakui telah menerima barangan kemas itu tetapi menyatakan ia sudah tidak lagi berada dalam jagaannya dan telah dirampas pihak berkuasa.

Pada Mei tahun ini, Gurupatham berkata anak guamnya memohon campur tangan dalam saman pelucuthakkan terhadap barangan yang disita.

“Kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk meminta butiran mengenai saman itu.

“Sebaik sahaja kami mempunyai butiran saman, kami akan campur tangan untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu termasuk di dalamnya.

“Sekiranya mana-mana bahagian daripada 44 barang kemas itu ada, kami akan memohon untuk campur tangan bagi mendapatkannya kembali kerana pelanggan kami adalah pemilik sah bagi barangan yang dirampas," katanya.

Pada 7 Mei, AGC telah mengemukakan satu notis pelucuthakkan bagi beratus-ratus barang termasuk beg tangan mahal dan 27 kenderaan dirampas daripada bekas perdana menteri, Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Rosmah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS