Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG tak tahu rayuan balas pendakwaan Wan Ji
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata dia hanya mengetahui mengenai rayuan balas pendakwaan dalam kes Akta Hasutan terhadap Wan Ji Wan Hussin pada 9 Julai lalu selepas hakim menetapkan hukuman setahun penjara terhadap pendakwah bebas itu.

Menyorot bahawa pendakwaan asal kes itu bermula di Mahkamah Sesyen pada 10 Sept 2014, Thomas berkata rayuan balas oleh pendakwaan terhadap hukuman dibuat sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Wan Ji didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018. Dia dijatuhi hukuman 9 bulan penjara dan seterusnya memfailkan rayuan terhadap sabitan itu. Pada hari yang sama, pendakwaan memfailkan rayuan balas.

Selasa lalu, Hakim Abdul Halim Aman meminda hukuman dengan menambah hukuman Wan Ji dari sembilan bulan kepada setahun, setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

"Tiada representasi bertulis yang pernah dibuat oleh tertuduh atau peguamnya kepada saya, dan saya sendiri tidak menyedari perkara ini sehingga keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Julai 2019 diketahui umum.

"Ini tidak menghairankan kerana pada mana-mana hari bekerja, kerajaan Persekutuan dan 13 kerajaan negeri terlibat dalam beratus-ratus kes jenayah dan sivil di semua mahkamah.

"Oleh itu, adalah mustahil untuk sesiapa mengikuti secara peribadi kes-kes ini," kata Thomas.

Thomas juga berkata bahawa Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji pilihan yang ada berhubung rayuan Wan Ji di Mahkamah Rayuan.

Namun, kata Thomas, kuasa budi bicara dari pihaknya sangat terhad, dengan sabitan oleh dua mahkamah.

"Kes Wan Ji sekali lagi membawa tumpuan kepada penggunaan Akta Hasutan 1948, dan penyebaran maklumat salah mengenai perkara ini.

"Faktanya adalah seperti berikut: Pertama, Akta Hasutan adalah antara Akta Parlimen yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan akan dimansuhkan."

"Kedua, Kabinet belum memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau memindanya. Di bawah sistem pemerintahan kita, Kabinet yang memutuskan bagi pihak Eksekutif, sama ada untuk menguatkuasakan, memansuhkan atau meminda undang-undang. Jabatan Peguam Negara membantu dalam merangka undang-undang baru.

"Ketiga, Kabinet tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk tidak bergantung kepada Akta Hasutan. Arahan semacam itu tidak akan, dalam apa keadaan, menjadi sah kerana ia akan menyinggung kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan pada Peguam Negara untuk memutuskan perkara-perkara pendakwaan bagi pihak negara," katanya.

Pada 2014, Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan hasutan 2014, namun hukuman itu ditambah sehingga satu tahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pihak pendakwaan pada 9 Julai lalu. Wan Ji memulakan hukumannya di Penjara Kajang pada hari sama.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini membenarkan permohonan peguam Wan Ji, Mohd Radzlan Jalaluddin untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.

Lihat Komen
ADS