Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS minta kerajaan tak gopoh hapus Akta Hasutan
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Kerajaan diminta tidak gopoh dalam mengambil ketetapan untuk menghapuskan Akta Hasutan hanya kerana beberapa kes yang berlaku muktahir ini.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demi menjaga kestabilan negara kerajaan harus mengambil kira semua faktor dan jangkaan masa hadapan sekiranya akta itu dihapuskan.

Malah, Tuan Ibrahim berkata dengan keadaan semasa hari ini kerajaan masih memerlukan satu akta untuk mencegah perilaku yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam. Isu yang lebih kritikal ialah penyalahgunaan akta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Ini masa yang terbaik untuk kerajaan baru membuktikan tidak akan melakukan penyalahgunaan akta.

"Sebaliknya, kerajaan mesti menjunjung kedaulatan undang-undang dan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk dilayan dengan adil. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada badan kehakiman di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut anggota Parlimen Kubang Kerian itu, perbuatan menghasut apatah lagi menanam kebencian sama ada melalui tulisan atau ucapan boleh mewujudkan ketegangan antara kaum serta mengancam kestabilan negara.

Tambahnya, jika akta itu dihapuskan, kerajaan akan terlewat untuk mengawalnya kalau berlaku kekacauan di negara ini.

Lihat Komen
ADS