Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tenaga Nasional Bhd menafikan telah menolak permohonan kerja seorang wanita berdasarkan tahap Indeks Jisim Badan (BMI).

Sebaliknya, firma itu berkata wanita tersebut tidak diambil bekerja atas alasan yang tidak dapat didedahkan.

"TNB mengambil maklum BMI wanita itu berada pada tahap tinggi tetapi itu bukan sebab dia tidak ditawarkan pekerjaan tersebut.

"Bukan amalan TNB untuk mendiskriminasikan orang dengan BMI yang tinggi kerana syarikat ini telah mengambil bekerja individu dengan BMI yang tinggi dan orang yang memiliki masalah kesihatan," kata TNB melalui emel.

Bagaimanapun, dalam emel terdahulu, TNB berkata BMI "bukan satunya sebab kenapa wanita tersebut tidak ditawarkan pekerjaan itu" yang memberi maksud BMI merupakan salah satu punca penolakan.

Syarikat itu menjelaskan perkara berkenaan merupakan kesilapan "ejaan."

Firma bekalan elektrik terbesar negara itu menjelaskan seramai 16 calon memohon jawatan tersebut dan surat tawaran dikeluarkan kepada tiga orang saja.

Pemohon yang mendakwa dirinya didiskriminasikan kerana berat badannya tidak mendapat surat tawaran itu, kata TNB lagi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seorang wanita mendakwa permohonannya bagi jawatan eksekutif di Tenaga Nasional Bhd telah ditolak kerana memiliki tahap indeks jisim tubuh (BMI) dirinya terlalu tinggi, biar pun selepas melepasi tahap temuduga panel.

BMI ialah ukuran yang mengambil kira ketinggian dan berat badan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka yang memiliki BMI lebih 30 dianggap sebagai "obes".

Wanita yang enggan dinamakan itu memberitahu Malaysiakini, seorang pengurus sumber manusia TNB menghubunginya menerusi WhatsApp bagi memaklumkan dia terpilih untuk jawatan eksekutif selepas temuduga bersama panel bulan lalu.

Bagaimanapun, eksekutif sumber manusia TNB kemudiannya memberitahu wanita terbabit bahawa TNB tidak dapat mengambilnya bekerja selepas laporan perubatan dalam prosedur permohonannya menunjukkan tahap BMInya melebihi 30.

Menurut laporan perubatan yang dilihat Malaysiakini, wanita itu dinyatakan "sesuai" untuk jawatan yang dipohon itu.

Sementara itu, berdasarkan mesej pada aplikasi WhatsApp, eksekutif sumber manusia (HR) TNB tersebut memberitahu wanita terbabit bahawa dia "disahkan" (confirmed) untuk jawatan yang dipohon.

"Dimaklumkan kepada anda bahawa anda telah melepasi (temuduga) dan panel berharap dapat mengambil kamu bekerja (Just want to inform you that you’ve made it through and the panel would like to take you on board),” kata mesej eksekutif HR itu.

Eksekutif itu juga berkata : "Memang disahkan kamu mendapat kerja itu (tetapi TNB) sebuah syarikat besar dan terdapat banyak lapisan serta jabatan mengendalikan hal ini jadi jangkakan sedikit tertunda (dalam menerima surat tawaran) - (It’s definitely confirmed that you got the job (but) it’s a big company and there are many layers and departments handling this so expect a bit of delay (in receiving the offer letter)."

 

Bagaimanapun, surat tawaran itu dibatalkan selepas wanita berkenaan menyerahkan laporan perubatannya.

"Saya telah memeriksa laporan perubatan kamu dengan (jabatan pengambilan pekerja) HR semalam dan mendapati tahap BMI kamu lebih daripada sasaran biasa (30). BMI kamu kalau tidak silap 38 (boleh dianggap tidak normal) - (I’ve checked your medical report with the HR shared services (department) yesterday and found out that your BMI score is above the normal target (30). Yours is 38 if I’m not mistaken (considered as abnormal).

"Baik saya berterus-terang sahaja. Saya minta maaf untuk mengatakan (BMI) merupakan salah satu syarat kelayakan utama untuk masuk ke TNB (Let me get this straight (out). I’m so sorry to say that it is one of the main qualifying criteria to enter TNB).

"Saya sudah bertanya jabatan pengambilan pekerja sama ada mereka masih mempertimbangkan kamu atau melihat kepada calon simpanan. Mereka memilih calon simpanan (I’ve asked the hiring department whether they wanted to consider you still or to look at reserve candidates. They opted for the reserve one)," katanya.

Eksekutif HR TNB itu juga mendedahkan calon lain juga ditolak kerana BMI yang tinggi.

Ini bukan kali pertama kes diskriminasi dalam pekerjaan kerana berat badan.

Pada 2017, Malaysian Airlines memecat lima pramugari kanan kerana berat badan mereka.

Seorang peguam yang mengendalikan isu-isu pekerjaan berkata undang-undang Malaysia tidak melindungi diskriminasi berdasarkan berat badan.

Suatu kajian di Amerika Syarikat pada 2017 mendapati apabila ditunjukkan gambar wanita dengan berat badan berlebihan kepada 500 pengurus pengambilan pekerja di negara itu, cuma 15 peratus sahaja yang berkata akan mengambil wanita tersebut bekerja.

Satu daripada lima pengurus dalam kajian itu berpendapat wanita tersebut "malas" atau "tidak profesional" hanya berdasarkan gambarnya sahaja.

 [Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS