Bumiputra-Commerce Holdings kumpulan pembankan kedua terbesar di Malaysia hari ini mengumumkan pengambilalihan Southern Bank dalam satu urusniaga korporat terbesar di negara ini.

Urusniaga tersebut yang membabitkan RM6.7 bilion itu menyaksikan Bumiputra-Commerce, melalui CIMB, menawarkan harga RM4.30 bagi setiap saham Southern Bank (SBB) bersama 5 sen dividen sesaham.

Ketua Pengarah Eksekutif SBB, Tan Teong Hean menyifatkan urusan pengambilaliahn itu sebagai yang terbesar dalam sejarah Malaysia yang tempiasnya akan turut dirasai oleh sektor korporat negara ini.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak.

Pengumuman tersebut mengakhiri spekulasi selama lima bulan mengenai rundingan tertutup yang menyaksikan rundingan penggabungan beralih menjadi pengambilalihan sesuatu yang jarang berlaku dalam sektor korporat Malaysia.

Februari lalu, Southern Bank menolak rundingan penggabungan selepas gagal mencapai persetujuan mengenai harga tawaran saham dan kemudiannya menolak harga tawaran CIMB RM4.15 sesaham, dengan alasan ianya dibawah nilai sebenar SBB.

Tan juga menyuarakan rasa leganya kerana semuanya telah berakhir. Tan sebelum ini dilaporkan keberatan menyerahkan bank tersbut dan pernah menyifatkan rundingan tersebut sebagai "amat mencabar".

Penggabungan tersebut juga turut menarik perhatian dan mencetuskan harapan bahawa akan berlaku satu lagi pusingan menggabungan sektor pembankan selepas Malaysia bersedia membuka sektor kewangannya kepada pihak asing pada 2007.

Sokongan sebulat suara

Tiga tahun lalu, program penggabungan tersebut menyaksikan 54 bank dan syarikat kewangan negara ini digabungkan menjadi 10 bank teras.

"Perkembangan terbaru ini akan mencetuskan satu lagi usaha penggabungan sektor kewangan semasa industri ini mempersiap diri untuk berdepan dengan era baru dalam persaingan global yang lebih mencabar," kata Tan.

Nazir turut mengalu-alukan penggabungan tersebut yang disifatkannya mendapat sokongan sebulat suara lembaga pengarah Bumiputra-Commerce (BCHB) dan SBB, dan pemegang saham terbesar SBB.

Menurutnya, SBB akan membantu bank pelaburan CIMB meningkatkan operasi penggunanya dan mengukuhkan kedudukan kumpulan tersebut sebagai bank kedua terbesar selepas Maybank.

Gabungan kredit dan operasi CIMB dan SBB akan meluaskan penguasaan pasarannya sebanyak 11 peratus, pinjaman perniagaan kecil dan sederhana akan berkembang 28 peratus manakala pinjaman runcit sebanyak 50.7 peratus keseluruhannya, kata Nazir.

Berikutan penggabungan tersebut, katanya, jumlah aset BCHB akan meningkat daripada RM121 bilion kepada RM152 bilion.

AFP