Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pihak berkuasa bakal tutup 18 kilang haram di Pasir Gudang
Diterbitkan:  Jul 15, 2019 9:05 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Pihak berkuasa Johor dilaporkan telah mengenal pasti 18 kilang haram di Pasir Gudang dan akan mula mengambil tindakan menutup kilang tersebut.

Menurut The Malaysian Insight hari ini, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar pejabat tanah daerah dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah mengenali pasti kilang-kilang itu yang kebanyakannya menggunakan tanah milik kerajaan negeri.

Beliau berkata untuk aspek pencemaran tindakan akan diambil berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 manakala MPPG ada kuasa untuk menutup kilang yang beroperasi secara haram.

“Setakat ini kita sudah memeriksa dan menutup tiga kilang. Operasi kami akan berterusan walaupun sudah mencapai sasaran memeriksa 250 kilang,” katanya seperti dipetik.

Pada Mei lalu, sejumlah pelajar di Pasir Gudang mengalami simptom sesak nafas dan loya dipercayai akibat pencemaran udara. Ia insiden kedua selepas pencemaran kimia di Sungai Kim Kim dua bulan sebelumnya.

Setakat ini, JAS Johor dilaporkan telah membuat pemeriksaan di lebih 255 kilang dan mengeluarkan 125 kompaun atas kesalahan berkenaan pembuangan sisa berjadual, sisa industri dan kumbahan.

Semalam, lebih 100 mangsa pencemaran untuk kedua-dua insiden membuat laporan polis untuk meminta siasatan menyeluruh berkenaan perkara itu.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata sejumlah 59 notis telah dikeluarkan kepada kilang yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 serta peraturan lain.

“Kita cuba menutup kilang yang tidak terlibat dalam kemungkinan pencemaran toksik. Kita juga menyita peralatan 11 kilang supaya mereka tidak boleh memproses apa-apa.

“Mereka perlu patuh dengan peraturan, kemudian baru mereka boleh menyambung operasi," katanya seperti dipetik.

Selain itu, beliau berkata tiga kilang yang melakukan kesalahan serius, iaitu tidak mengikut prosedur pembuangan sisa berjadual dan tidak menghantar laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, juga akan dikenakan tindakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS