Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan berhak sita RM1b akaun firma China, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan persekutuan mempunyai hak menyita dana RM1 bilion daripada akaun syarikat Chinese Petroleum Pipeline Engneering Ltd (CPP).

Jelas Dr Mahathir, syarikat itu melanggar perjanjian kontrak apabila hanya menyiapkan 13 peratus skop kerja sedangkan sudah menerima 80 peratus daripada jumlah bayaran keseluruhan.

“Kami berhak mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut. Mereka hanya siapkan 13 peratus kerja. Tetapi, menerima 80 peratus bayaran,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kempimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung tindakan kerajaan menyita RM1bilion daripada akaun bank tempatan milik CPP.

“Apa yang berlaku adalah bahawa ada tawaran pemasangan paip. Saya memahami wang itu untuk pemasangan paip sudah dibayar kerajaan tapi hanya 13 peratus disiapkan.

“Jadi, kerajaan berhak untuk mengambil balik wang lebihan yang dibayar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata kerajaan berniat mengambil balik dana yang disalurkan kepada syarikat tersebut selepas projek berkenaan dibatalkan.

Sabtu lalu, akhbar Straits Times Singapura melaporkan bahawa pihak Malaysia menyita AS$243.25 juta (RM1 bilion) dari akaun CPP.

Tindakan ke atas akaun CPP itu berlaku selepas setahun kerajaan menggantung dua projek pemasangan paip yang diterajui oleh CPP yang bernilai AS$ 2.3 bilion.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan kementeriannya memberi arahan untuk menyita dana dari akaun bank berkenaan.

Mengulas perkara itu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau bertanggungjawab untuk sebarang projek yang diberi peruntukan dana namun tidak digunakan untuk tujuan asal.

“Saya bertanggungjawab (sebagai perdana menteri) untuk sebarang projek, “ katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa tindakan kerajaan itu tidak akan merenggangkan hubungan dengan kerajaan China.

“Kerajaan tidak mengambil balik wang untuk kerja yang dibuat. Sebaliknya, hanya untuk kerja yang tidak dilaksanakan,” tegasnya.

Lihat Komen
ADS