Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Turun had usia beri ruang belia serlah bakat kepimpinan

Penurunan had umur belia dari 40 kepada 30 tahun memberi ruang lebih besar kepada golongan berkenaan di negara ini untuk bergelar pemimpin arus perdana berbanding hanya terhad kepada persatuan belia sahaja.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata langkah menurunkan had umur belia itu dilihat akan memberi peluang belia menyerlahkan bakat kepimpinan mereka dalam pelbagai peringkat.

"Persatuan belia adalah 'kilang' melahirkan pemimpin belia yang mempunyai integriti dan mempunyai sifat kepimpinan setaraf dengan golongan lebih berusia. Kita yakin dengan pindaan akta ini (Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), kita sebenarnya sedang 'mengarus perdana' golongan belia kita, ia satu langkah yang baik," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Rafiq berkata pandangan bahawa belia mempunyai krisis kepimpinan dan tidak matang untuk menerajui sesuatu entiti tidak boleh lagi diterima pakai kerana golongan itu di negara ini kini terdedah kepada maklumat dan mempunyai akses yang banyak kepada ilmu pengetahuan.

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin turut bersetuju bahawa penurunan had umur belia akan menambah peluang golongan itu menonjol sebagai pemimpin, namun terdapat kekhuatiran yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan.

Beliau berkata selain sudut positif dari segi kepimpinan, peluang dan keperluan golongan berusia 31 hingga 40 tahun yang sebelum ini bergelar belia perlu diambil perhatian serius.

"Jika sebelum ini, golongan belia itu mempunyai pelbagai inisiatif dari segi ekonomi yang disediakan kerajaan, tetapi dengan penurunan had umur ini mungkin ada inisiatif yang sebelum ini mereka layak dapat, mereka tidak lagi boleh akses.

"Contoh seperti inisiatif program Agropreneur Muda yang diwujudkan untuk golongan muda berumur antara 18 dan 40 tahun bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro, selepas akta tersebut dipinda, bagaimana nasib golongan berusia 31 hingga 40 tahun ini, adakah mereka masih layak menikmati inisiatif ini?" katanya.

Beliau juga berkata golongan 31 hingga 40 tahun juga dikhuatiri akan hilang peluang menikmati inisiatif untuk belia memiliki rumah, sedangkan golongan berkenaan masih bergelut dengan isu untuk mempunyai rumah sendiri.

Katanya, jika akta itu dikuatkuasakan mereka mungkin tidak lagi layak memohon inisiatif seperti Skim Perumahan Belia, sekali gus perlu bersaing dengan golongan lain untuk memiliki rumah sendiri.

Justeru, beliau berkata kerajaan perlu mempunyai perancangan alternatif bagi menggantikan semua inisiatif tersebut bagi memastikan golongan yang tercicir daripada senarai takrifan belia ini terus mendapat manfaat daripada program kerajaan.

"Kita bukanlah mahu mewujudkan generasi yang bergantung pada bantuan kerajaan, tetapi inisiatif seperti ini dilihat amat membantu sebagai jaringan keselamatan (safety net) kepada golongan ini,” katanya.

Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS