Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekolah Ibrahim Sg Petani rai kegemilangan 100 tahun penubuhan

Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim School yang terletak di Jalan Kolam Ayer, Sungai Petani, Kedah yang bakal berusia 100 tahun pada Ogos ini telah melahirkan ramai nama tersohor dalam pelbagai bidang di negara ini.

Selain melahirkan dua menteri besar Kedah - Sanusi Junid dan Syed Nahar Syed Shahabudin - sekolah Inggeris pertama di Kedah itu mencatatkan satu rekod yang sukar dicabar dengan melahirkan lapan orang naib canselor institusi pangajian tinggi.

Bagi Profesor Emeritus Ir Dr Md Noor Salleh, bekas pelajar sekolah itu, selain tokoh-tokoh itu dua ‘figura' - Ah Tat dan Keluarga Augustin - sentiasa menjadi sebutan apabila bercerita mengenai sejarah panjang Ibrahim School yang didirikan pada 1919 semasa zaman penjajahan British di negara ini.

Md Noor, anak jati Kedah itu yang kini berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Sivil di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) menjelaskan pada ketika itu penghuni asrama Ibrahim School dijaga oleh Ah Tat walaupun sekolah itu dibiayai oleh kerajaan British serta ibu bapa pelajar.

"Saya percaya rata-rata alumni tidak akan lupa dengan Ah Tat, penjaga asrama dan peniaga di kantin sekolah ini. Saya sendiri tinggal di asrama selama enam tahun, sejak bersekolah di situ dari 1959 hingga 1964.

"Ah Tat ini, dia jaga makan minum pelajar yang tinggal di asrama. Secara tak langsung, pelajar dan Ah Tat agak rapat. Jadi, sikap nakal dan rahsia pelajar terutama apabila kami tinggal bersebelahan asrama The Gurkha Boys, memang banyak yang dia tahu," katanya.

Bagi keluarga Augustin pula, Md Noor yang juga Pengerusi Persatuan Alumni Ibrahim School berkata, keluarga ini memang 'digeruni' dalam bidang sukan memandangkan mereka adalah tulang belakang pasukan kriket dan hoki sekolah berkenaan.

"Keluarga Datuk James Frederick Augustin ini memang terkenal sebab 11 anaknya terlibat dalam sukan terutama kriket dan hoki. Bukan sekali, jika tak cukup pemain, kesemua anaknya atau lebih terkenal dengan gelaran 'The Augustin Clan' akan turun padang main kriket atau hoki bagi mewakili sekolah atau daerah," katanya.

Lebih menarik, pasukan The Augustine Cricket XI mencipta sejarah apabila nama mereka dipahat dalam Book of Wisden, naskhah yang dianggap oleh komuniti kriket antarabangsa sebagai rujukan utama, termasuk menjadi pasukan keluarga kriket pertama malah tertua di Pulau Pinang.

Dengan sejarah 100 tahun penubuhan sekolah itu yang diasaskan oleh Syed Jan Al-Jafree (1919-1946) dan kini Ideris Abd Rahim selaku pengetua sejak Feb 2016, Md Noor mengakui sekolah itu tidak pernah lelah dalam melahirkan figura dan tokoh terkemuka di negara ini.

Ini termasuklah 'melahirkan' lapan naib canselor yang menabur bakti di universiti terkemuka di Malaysia, antaranya Professor Dr. Ghauth Jasmon (Universiti Malaya), Prof Dr Zakaria Kasa (UPSI), Prof Dr Abdul Razak Habib (UNITAR), Prof Dr. Premkumar Rajagopal (MUST), Prof Dr Syed Arabi Idid (UIAM) dan Prof Dr Ismail Bakar (UTHM).

"Saya kira, sekolah ini adalah yang paling ramai melahirkan naib canselor di negara ini iaitu lapan orang (setakat ini) dan itu menjadi kebanggaan kami sepanjang zaman," katanya.

Nyata, pengisytiharan Sekolah Ibrahim sebagai sekolah berusia 100 tahun di negeri Kedah oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Sabtu lepas secara langsungnya menjustifikasikan kepentingan sejarah sekolah itu kepada negara.

Ia mulanya dikenali sebagai Government English School pada 1919 dengan tapak asalnya terletak di Pejabat Telekom, Sungai Petani sekarang.

Sekolah itu kemudiannya dinamakan Ibrahim School pada 1936 sempena memperingati Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Shah dan seterusnya dibahagikan kepada sekolah rendah dan menengah pada 1954.

"Bagi alumni sekolah ini...tidak kira dari tahun bila...banyak suka dan duka kami kongsikan secara pengalaman sendiri atau secara bercerita daripada senior ke junior. Ini termasuklah semasa Perang Dunia Kedua, sekolah ini terpaksa ditutup bagi dijadikan markas tentera Jepun, sebelum dibuka semula pada Oktober 1945 sehingga sekarang dan terus menjadi kebanggaan semua warganya,” katanya.

Dalam meraikan ulang tahun ke-100, beberapa acara sambutan dilakukan sejak Mei hingga Ogos ini termasuk Larian 100 Tahun sejauh 5 kilometer, penulisan dan rakaman dokumentari serta majlis makan malam gala yang turut membabitkan alumni sekolah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS