Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti baru Waytha beri mesej salah bagi perpaduan kaum - MP DAP

Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago berkata Menteri Perpaduan, P Waythamoorthy memberi mesej yang salah bagi perpaduan kaum apabila menubuhkan parti berasaskan kaum di negara ini.

Charles berkata walaupun menjadi hak Waythamoorthy untuk membentuk sebuah parti politik, pendekatan berasaskan kaum "bertentangan dengan semangat Pakatan Harapan (PH)".

"Beliau perlu memutuskan sama ada beliau seorang pemimpin sesuatu kaum atau sama ada beliau seorang pemimpin untuk semua rakyat Malaysia.

"Ini kerana PH bergerak ke arah pendekatan pelbagai kaum, ke arah menyelesaikan krisis yang rakyat Malaysia hadapi iaitu kemiskinan, ketidaksamaan dan sebagainya.

"Sebab itu saya rasa walaupun ia adalah haknya untuk menubuhkan parti politik, saya tidak fikir negara ini, pada masa ini, sangat berminat untuk memiliki sebuah parti berasaskan kaum yang baru," kata anggota parlimen DAP itu kepada Malaysiakini.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa Bersatu, yang merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah parti berasaskan Melayu.

Bagaimanapun katanya Bersatu ditubuhkan dengan tujuan menyediakan pilihan kepada orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan Umno.

"Masyarakat India sentiasa mempunyai ruang dalam DAP dan PKR, dan terdapat juga orang India dalam Amanah juga," katanya.

'Hanya cetuskan persaingan dalam PH'

Sementara itu, Presiden MIC SA Vigneswaran berkata parti baru yang diasaskan menteri berkenaan tidak akan menggugat pembangkang.

Sebaliknya Vigeneswaran berkata Malaysian Advancement Party (MAP) itu hanya akan menyebabkan berlaku persaingan di kalangan parti-parti dalam kerajaan.

"Saya tidak fikir mereka akan menjadi pesaing langsung. Persaingan sepatutnya dalam (Pakatan Harapan), PKR, DAP dan MAP. Sebenarnya, saya fikir orang-orang yang akan tergugat adalah orang-orang dalam kerajaan.

"Pembangkang tidak terancam sama sekali, kerana kita sekarang dalam pembangkang selama kira-kira setahun dan ahli-ahli kita masih ada," kata Vigneswaran ketika ditanya Malaysiakini.

Secara berseloroh beliau berkata "Ramai orang kata MIC tidak relevan, jadi apa masalahnya? Tidak ada masalah".

Beliau percaya parti baru itu tidaka akan mampu memperjuangkan hak masyarakat India memandangkan parti itu masih tidak mempunyai "rangka kerja" sendiri.

"Dan pada masa beliau membina rangka kerja ini, saya fikir jawatan senator beliau akan berakhir," katanya.

Bagaimanapun Vigneswaran menyambut baik penubuhan sebuah parti baru yang mewakili orang India.

"Harap-harap sesiapa sahaja yang mempunyai isu India boleh pergi dan berjumpa seorang menteri India yang mewakili kaum India," katanya.

Lihat Komen
ADS