Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih langgar embargo, gesa perbahasan persempadanan Sabah dibatal
Diterbitkan:  Jul 16, 2019 5:01 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Bersih 2.0 memutuskan untuk melanggar embargo (sekatan sementara menunggu kelulusan penyiaran) laporan persempadanan 2017 Sabah yang dibentangkan di Parlimen esok.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menerusi kenyataannya berkata orang ramai harus dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan berkenaan sebelum anggota parlimen membuat perbahasan dan pengundian berkaitan persempadanan Sabah.

“Bersih 2.0 akan mendedahkan laporan persempadanan 2017 Sabah secara atas talian dan menawarkan untuk membayar denda RM1000 kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana melanggar embargo Parlimen.

“Bersih 2.0 melahirkan rasa kecewa bahawa seruan penarikan embargo yang dibuat oleh Bersih 2.0 telah diabaikan dan ini menyebabkan orang ramai tidak sedar dengan kepentingan keputusan yang akan dibuat nanti kerana tidak ada media yang dapat melaporkan laporan tersebut,” kata Bersih 2.0.

Justeru, Bersih 2.0 menyeru pengamal media dan pengguna media sosial untuk berkongsi pautan yang mengandungi salinan imbasan laporan tersebut supaya ia boleh dimuat turun.

“Bersih 2.0 yakin bahawa orang ramai perlu dimaklumkan kandungan laporan tersebut sebelum ahli parlimen membuat undian. Justeru, kami tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa melanggar Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dengan mendedahkan keseluruhan laporan ini,” kata Bersih 2.0 lagi.

Untuk pelanggaran embargo itu, Bersih 2.0 akan membayar RM1,000 kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pengarah Eksekutif Bersih 2.0 Yap Swee Seng akan datang ke parlimen untuk menawar bayaran denda RM1,000 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 5 petang esok.

Tetapi Yap berkata setiausaha sulit Yang Dipertua memberitahu bahawa Yang Dipertua akan memutuskan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut.

Antara perkara yang disorot Bersih berhubung laporan itu ialah kawasan parlimen terbesar P171 Sepanggar (55,294) adalah 2.22 kali ganda bilangan pengundi berbanding dengan kawasan terkecil, P183 Beluran (24,916).

Selain itu, Bersih turut membangkitkan mengenai Kawasan DUN N69 Sri Tanjong (25,104) yang mempunyai 4.58 kali ganda bilangan pengundi berbanding dengan kawasan DUN terkecil N01 Banggi (5,485).

Berdasarkan laporan itu, Bersih juga mempersoalkan pembahagian tidak sekata yang berlebihan yang menurutnya akan bertambah buruk dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik dengan kemungkinan 300,000-400,000 pengundi baru dimasukkan kepada 1,117,337 pengundi yang sedia ada, dengan secara tidak seimbang di kawasan bandar.

Justeru, Bersih 2.0 menggesa kerajaan persekutuan membatalkan perbahasan dan pengundian esok serta meminta semua anggota parlimen Sabah dan Labuan menentang usul berkenaan atau tidak mengundi sekiranya sesi itu diteruskan.

Pada 11 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yakin tambahan 13 kerusi DUN Sabah itu akan mendapat kelulusan di Parlimen yang hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan dua pertiga kerana tidak membabitkan pindaan perlembagaan.

Menurut Shafie kerusi tambahan itu sudah diluluskan di DUN Sabah ketika ia dibentangkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Berdasarkan persempadanan baru itu, 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Pada 8 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mengumumkan kerajaan Pakatan Harapan telah meneliti Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri.


Lihat Komen
ADS