Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perintah reman Haziq kekal, lima lagi bakal dibebaskan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan perintah reman selama enam hari terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz bagi siasatan berhubung penularan video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah meminda perintah reman daripada enam hari kepada empat hari terhadap lima lagi individu yang ditahan bersama Haziq.

Keputusan meminda perintah reman lima individu itu dibuat setelah mendapati terdapat kekhilafan dalam perintah reman yang dikeluarkan majistret sebelum ini.

“Lima suspek yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan direman selama empat hari.

“Manakala seorang lagi suspek (Haziq Abdullah) yang disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kekal reman selama enam hari seperti sebelum ini,” katanya.

Oleh itu, kelima-lima suspek berkenaan berkemungkinan akan dibebaskan esok.

Haziq, 27 tahun yang juga Ketua Pemuda PKR (AMK) Cabang Santubong dan lima individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi hukuman memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Perintah tahanan reman terhadap Haziq dan lima individu berkenaan sebelum ini dikeluarkan oleh Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mereka membuat semakan terhadap perintah reman yang dikeluarkan.

Pada prosiding hari Haziq diwakili peguam, S Ramesh.

Menyentuh isu diari siasatan (ID) tidak dikemukakan semasa prosiding permohonan reman tempoh hari, hakim itu berkata ia bukan satu masalah kerana sudah dimasukkan dalam sistem talian.

Haziq Abdullah dan lima lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa dan direman enam hari bermula Isnin dan akan berakhir Sabtu ini.

Pada hari sama, selepas ditahan reman mereka memfailkan permohonan semakan terhadap perintah tersebut atas dakwaan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki telah terkhilaf apabila mengeluarkan perintah reman secara 'pukul rata' bagi kesemua suspek dan hari ini Mahkamah Tinggi mendengar permohonan itu.

Peguam Ramesh yang mewakili kesemua suspek berhujah bahawa permohonan reman terhadap kesemua suspek sepatutnya dibuat secara individu memandangkan mereka disiasat mengikut seksyen berasingan.

Sementara itu, peguam R Sivahnanthan yang juga mewakili semua lelaki itu pula berkata antara lain diari siasatan juga tidak dikemukakan kepada mahkamah semasa prosiding permohonan tahanan reman di hadapan Majistret Namirah Hanum.

"Majistret tidak mengemukakan sembilan alasan yang sepatutnya dipertimbangkan sebaliknya hanya enam alasan yang diberikan antaranya kesan rakan jenayah, maklumat orang awam, gambar tempat kejadian, rakaman percakapan, kawad cam dan cap jari," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Abdul Razak berkata permohonan diari siasatan atau ID masih dalam peringkat siasatan dan masih terlalu awal untuk mengasingkan tuduhan secara individu.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi hukuman memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, manakala, Seksyen 292 Kanun Keseksaan pula menyebar bahan lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lihat Komen
ADS