Paling Popular
Terkini

Anggota parlimen pembangkang hari ini tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan sikap Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang menurut mereka sebagai berat sebelah dan seolah-olah cuba menyebelahi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ia susulan keputusan speaker yang menolak usul pembangkang untuk merujuk Lim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan kenyataan ahli parlimen Bagan itu sebelum ini berhubung dana pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) .

“Macam mana dia boleh jadi hakim pun saya tak tahulah. Tak guna,” kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pada sidang media di lobi parlimen.

Sidang media itu diadakan selepas sidang Parlimen hangat dengan pertikaman lidah antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan ketika membahaskan usul untuk merujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sehingga beberapa wakil rakyat pembangkang angkat kaki dan keluar dari dewan.

Usul itu dibuat kerana ungkapan “merompak” yang pernah dibuat Lim tahun lalu kepada pentadbiran BN berhubung kutipan hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang menurut mereka mengelirukan dewan.

Pada sidang media tersebut, ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob mendakwa speaker seperti cuba mempertahankan Lim, dan dengan itu, sekaligus mempertahankan tuduhan oleh menteri kewangan itu bahawa duit GST “dirompak” oleh kerajaan BN yang lepas.

Sedangkan katanya, laporan PAC yang dibentangkan kelmarin jelas menyatakan bahawa RM19.4 bilion yang dikatakan hilang itu masih berada akaun disatukan.

“Maknanya, tak ada kehilangan langsung. Jadi tentulah tak ada rompakan seperti dituduh Bagan (Lim).

“Oleh kerana ketegangan berlaku tadi (dalam dewan), kita pun cuba berkompromi iaitu tak perlu rujuk (jawatankuasa) dengan syarat Bagan memohon maaf dan menarik balik tuduhan dilakukan tapi perkara ini tak juga berlaku.

“Speaker tak pun mengarahkan Bagan menarik balik malah tetap dengan kepuusannya untuk menolak usul yang dibawa oleh pembangkang. Saya lihat banyak pilih kasih (double standard) dalam keputusannya dalam dewan,” kata Ismail.

Sementara itu, mengulas mengenai jumlah RM19.4 bilion yang didakwa hilang oleh Lim, Khairy berkata Lim menipu di dalam dewan mengatakan jumlah itu merupakan tuntutan yang telah disahkan.

“[...] Dapatan daripada Jabatan Audit Negara, April tahun ini menyatakan hanya 6 bilion sahaja yang dilulus untuk dibayar daripada RM19 bilion. Jadi jika hanya RM6 bilion setakat April, bayangkan tahun lepas? Saya difahamkan hanya RM1 bilion disahkan untuk dibayar balik.

“Jadi kenapa nak simpan dalam akaun GST? Lebih baik duit itu digunakan untuk pembangunan dan pentadbiran yang lain. Itu pengurusan aliran tunai, dan dalam akta dibolehkan menteri kewangan keluarkan duit daripada akaun GST dan masukkan dalam akaun disatukan. Itu bukan jenayah.

“Dalam perbahasan saya dengan menteri kewangan, dia pernah sebut bahawa RM19.4 bilion itu dah disahkan. Dia sebut, ya. Dah disahkan. Tapi dalam laporan PAC, jelas belum lagi," katanya.

Selepas sidang media, pembangkang bergerak semula masuk ke dalam dewan untuk sesi perbahasan.

Lihat Komen
ADS