Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hutang negara cecah RM1.09 trilion pada 2018 - JK parlimen
Diterbitkan:  Jul 17, 2019 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

PARLIMEN |  Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Bajet mengesahkan hutang negara pada akhir tahun 2018 mencecah RM1,090.8 bilion (RM1.09 trilion).

Pengerusi PSC, Mustapa Mohamed berkata jumlah itu merangkumi hutang kerajaan persekutuan (RM741 bilion), jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan (RM132.7 bilion) serta hutang bersih 1Malaysia Development Bhd (RM32.2 bilion).

Menurut Mustapha ia meliputi liabiliti lain iaitu perkongsian awam-swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta (PFI) dan PBLT Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Pembinaan BLT Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dengan jumlah RM184.9 bilion.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di lobi parlimen mengenai Penyata Pertama Sesi 2018-2020 bagi Hutang dan Liabiliti Kerajaan.

Laporan PSC yang dikeluarkan hari ini mengatakan penting kepada kerajaan untuk memberi gambaran kewangan yang betul untuk menyediakan bayaran caj hutang yang tepat.

"Ini kerana tidak ada perbezaan (di antara projek-projek ini) dan projek-projek pembangunan secara langsung dibiayai oleh kerajaan di bawah rancangan Malaysia lima tahun melalui pinjaman dari peminjam domestik atau antarabangsa," kata laporan itu.

PSC mengesyorkan supaya kerajaan menggabungkan perkara-perkara di luar belanjawan untuk dimasukkan ke dalam bajet negara dan membuat undang-undang mengenai jumlah maksimum jaminan kerajaan (bagi pinjaman) yang boleh dibuat.

Jawatankuasa itu turut menggesa kerajaan untuk berterusan membandingkan tahap hutang Malaysia dengan negara Asean dan negara maju yang lain.

Mustapha menjelaskan kerajaan persekutuan telah menerima perakaunan akruan pada tahun 2011, sejajar dengan panduan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai statistik hutang sektor awam.

Kerajaan memulakan proses pemindahan daripada perakaunan berasaskan tunai kepada perakaunan akruan pada tahun 2015, yang akan diselesaikan dalam setahun atau dua, kata Mustapa.

Pendekatan perakaunan akruan merekodkan perbelanjaan ketika urus niaga dilakukan bukannya semasa pembayaran atau penerimaan wang dibuat.

Perakaunan akruan mengambil kira jumlah aset dan liabiliti, termasuk liabiliti masa depan, berbanding dengan perakaunan berasaskan tunai yang hanya melihat transaksi.

"Perbezaan antara sebelum ini dan sekarang adalah jawatankuasa telah memutuskan bahawa kita perlu mengambil kira liabiliti kerana kerajaan yang wajib membuat bayaran," kata MP Jeli.

Selain Mustapa, jawatankuasa parlimen ini turut dianggotai Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa), Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju), Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dan Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS