Malaysiakini BERITA

Air Kuala Koh toksik - Persatuan perubatan

Martin Vengadesan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ujian makmal terhadap sampel yang diambil dari sumber air di sekitar Kampung Kuala Koh di Gua Musang, yang menyaksikan kematian 15 penduduk Orang Asli suku Bateq, mendapati kewujudan kandungan bahan pencemar dan toksik.

Presiden Persekutuan Persatuan Perubatan Perubatan Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow berkata sampel diambil pada 10 dan 11 Jun dari lima sumbe air.

Sampel diambil pada minggu ketika dilaporkan seramai 14 penduduk kampung telah meninggal dunia akibat menghidapi penyakit misteri.

FPMPAM menghantar sampel untuk ujian di tiga makmal bebas, yang mendapati bahawa sampel dari Sungai Pertang - sumber utama air untuk masyarakat - tidak sesuai untuk digunakan manusia, melainkan dirawat dengan baik.

Air tersebut juga didapati tidak sesuai untuk kegunaan riadah.

Tahap kotoran najis

Satu kajian juga mendapati tahap mangan (sejenis logam berat) di dalam air adalah sebanyak 2.53mg / L - lebih 12 kali ganda daripada standard keselamatan 0.2mg / L yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kajian juga mendapati tahap pencemaran najis di dalam air sebagai tidak dapat diterima.

Berdasarkan penemuan ini, yang telah disusun dalam laporan yang dilihat oleh Malaysiakini, Chow dan kumpulannya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Dzukelfy Ahmad pada hari ini untuk mendesak beliau supaya menjalankan siasatan terhadap kes kematian penduduk kampung itu.

Mesyuarat itu berlangsung pada jam 4 petang tadi.

Ditanya mengapa persatuannya memilih untuk menjalankan kajian bebas, Chow berkata ia kerana "penjelasan rasmi kedengaran seperti ada yang tidak kena."

"Terdapat (kenyataan) tergesa-gesa untuk mengesahkan air (di Kuala Koh) bersih, menyalahkan gaya hidup Bateq sebagai faktor dan kemudian menyalahkan campak," katanya kepada Malaysiakini.

Chow dan yang lain bertekad untuk mengetahui kebenarannya dan tidak yakin apabila Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati tiada pencemaran air dari perlombongan mangan di Aring 10, tiga kilometer dari Kampung Kuala Koh.

Menurut Wan Azizah, JAS telah mengambil sampel di lombong mangan dan mata air di kampung itu, dan "mendapati kualiti air di kawasan persampelan iaitu Sungai Lebir adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah."

Dr Steven Chow, kiri.

Bagaimanapun, menurut Chow, penduduk suku Bateq tidak mempunyai akses kepada air terawat dan bergantung kepada sumber sungai untuk kegunaan harian mereka, termasuk air minuman.

Chow dan kumpulannya sudah mengumpul sampel air mereka sebelum Wan Azizah membuat pengumuman itu pada 14 Jun lalu dan penemuan FPMPAM mendapati wujud percanggahan hasil uji kaji.

Ujian sampel telah dijalankan oleh Makmal Kejuruteraan Alam Sekitar di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, ALS Life Sciences dan ChemLab cawangan Kuala Lumpur.

Makmal Kejuruteraan Alam Sekitar menemui paras nitrogen ammonia yang tinggi, antara 11.2mg / L hingga 25.2mg / L.

Tahap kimia ini yang dapat diterima untuk air sungai adalah tidak melebihi 0.9mg / L.

"Ammonia tinggi mungkin disebabkan oleh adanya baja di kawasan yang mengalirkannya ke sungai, serta dari air kencing dan najis manusia dan haiwan yang secara langsung dilupuskan ke sungai tanpa dirawat terlebih dahulu," kata laporan itu.

Kajian makmal menyimpulkan bahawa "berdasarkan semua parameter yang diuji untuk semua sampel air, kebanyakan parameter gagal mematuhi piawaian."

"Oleh itu, air sungai tersebut tidak sesuai digunakan sebagai air minum tanpa rawatan yang rapi."

Dalam ujian yang dijalankan oleh ALS Life Sciences, jumlah koliform kotoran najis melebihi paras yang dapat diterima untuk air sungai. 

Bakteria koliform digunakan sebagai penunjuk tahap pencemaran kotoran.

Chow dan kumpulannya telah melawat Kampung Kuala Koh hanya seminggu sebelum berlakunya krisis tersebut dan terkejut dengan keadaan di kawasan itu.

Menggambarkan keadaan, Chow berkata tidak ada bekalan air dan semua tangki air kosong.

"Paip pecah. Apa yang kami ada cuma air botol yang kami bawa untuk pesakit dan pasukan perubatan.

"Dengan ketiadaan bekalan air, standard sanitasi sangat teruk.

"Kami menemui pesakit daripada lebih 60 keluarga, ramai yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Hampir semua mempunyai masalah jangkitan yang memberi kesan sama ada terhadap sistem pernafasan atau pencernaan, atau kulit," katanya.

Chow berkata pada masa itu, tiada tanda-tanda penyakit campak, tetapi semasa lawatannya, mereka merawat 140 pesakit, empat daripadanya meninggal dunia kemudian.

Ini termasuk Tok Batin Hamdan Keladi, abangnya dan tiga anaknya.

Beliau berkata soalan harus ditanya mengenai mengapa ada kematian berkelompok dalam satu keluarga.

Laporan FPMPAM menyimpukkan: "Tragedi ini terjadi akibat daripada kombinasi sempurna beberapa ciri-ciri -  tekanan sosio-ekonomi terhadap pribumi yang terpinggir dengan ekonomi sara hidup memburu dan mengutip hasil hutan, penurunan kualiti alam sekitar yang dicemari toksik, perbezaan serta ketidaksamaan dalam penjagaan kesihatan dan wabak penyakit telah berakhir dengan kematian yang tidak dapat dielakkan."

[Baca berita penuh]