Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sejak konsep Bangsa Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keempat, Dr Mahathir Mohamad, perdebatan dan perbincangan mengenainya tidak pernah terhenti.

Retorik menyokong atau mempersoalkan konsep Bangsa Malaysia berterusan dalam era Malaysia Baharu di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh.

Dengan situasi politik negara yang tidak menentu dan hubungan perkauman yang semakin renggang, adakah masih ada ruang untuk naratif Bangsa Malaysia?

Sebelum berbincang dengan lebih lanjut tentang konsep Bangsa Malaysia ini, eloklah kita melihat dulu apa sebenarnya maksud “Bangsa Malaysia” yang sering diperkatakan ini. Istilah “bangsa” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai lima definisi.

Bagaimanapun, hanya dua versi “bangsa” yang lazim digunakan secara umum. Yang pertama adalah merujuk kepada asal keturunan dan mempunyai maksud yang serupa dengan “kaum” atau “etnik”, contohnya seperti bangsa Melayu dan bangsa Iban.


“Bangsa” dalam versi ini biasanya diterjemahkan sebagai “race” dalam Bahasa Inggeris. Satu lagi maksud “bangsa” yang sering digunakan pula merujuk kepada, memetik ayat dari Kamus Dewan, “kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan”. Contoh seperti Bangsa Malaysia dan Bangsa Indonesia.

Dalam Bahasa Inggeris, perkataan yang lazimnya membawa maksud yang serupa adalah “nation”, seperti yang dapat dilihat dalam perkataan “national”(kebangsaan), “international”(antarabangsa), dan “United Nations”(Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

Apabila kita membincangkan Bangsa Malaysia, sudah semestinya “bangsa” yang dibicarakan di sini merujuk kepada maksud kedua, yakni “Malaysian nation”, bukannya “Malaysian race”.

Namun sering kali apabila membincangkan soal Bangsa Malaysia, para penentang konsep ini sering mencampur-adukkan kedua-dua definisi ini dan mendakwa bahawa Bangsa Malaysia adalah mustahil kerana Malaysia mempunyai rakyat dari pelbagai bangsa dan agama yang berbeza, atau mendakwa bahawa pembentukan satu Bangsa Malaysia akan melenyapkan identiti kaum seperti Melayu atau etnik-etnik lain.

Mereka yang mengemukakan hujah-hujah seperti ini sama ada mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang lemah atau sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekeliruan di atas dua penggunaan lazim perkataan “bangsa”.

Yang terbaru menggunakan hujah seperti ini adalah bekas Menteri Besar Johor, Khaled Nordin yang mendakwa bahawa konsep Bangsa Malaysia mustahil direalisasikan kerana kemajmukan Malaysia dalam bangsa, agama, dan budaya.

Perubahan jelas polisi kebudayaan

Bangsa atau “nation” adalah suatu komponen penting dalam struktur ketatanegaraan moden yang dibina atas konsep negara bangsa atau “nation state”.

Dalam bahasa mudah, negara (state) adalah “hardware” atau entiti yang menjalankan kuasa pentadbiran terhadap kawasan tertentu dan dan mempunyai kuasa kedaulatan ke atas kawasan tersebut dan penduduk dalam kawasan terbabit. Bangsa (nation) pula, seperti yang didefinisikan di perenggan sebelumnya, lebih menyerupai “software” yang penting untuk memastikan sebuah negara dapat berfungsi secara optimal.

Konsep “Bangsa Malaysia” mula dibincangkan secara meluas apabila Mahathir mengetengahkan istilah tersebut sebagai sebahagian dari usaha Wawasan 2020 untuk mewujudkan identiti kebangsaan yang inklusif bagi semua penduduk Malaysia.

Ia boleh dianggap sebagai satu penolakan terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan polisi utama kerajaan utama dalam pembentukan identiti nasional pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Berbeza dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang tidak bersifat inklusif dan tidak melambangkan realiti kepelbagaian budaya di negara ini, konsep Bangsa Malaysia meraikan kepelbagaian budaya dan tidak menjadikan kepelbagian sebagai penghalang kepada suatu identiti nasional, malah identiti nasional berdasarkan kepelbagian budaya dianggap sebagai sesuatu yang perlu diraikan.

Terdapat perubahan jelas dalam polisi kebudayaan kerajaan dalam era sebelum dan selepas konsep Bangsa Malaysia diketengahkan.

Contohnya, pada tahun 1980 ketika Dasar Kebudayaan Kebangsaan masih menjadi tunggak utama polisi kerajaan, aktiviti seperti tarian singa telah diharamkan di sekolah dan tempat-tempat umum.

Bagaimanapun, pada tahun 1990-an, dengan konsep Bangsa Malaysia mula menggantikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam pembentukan identiti nasional, larangan terhadap tarian singa bukan sahaja ditarik balik malah ia diiktiraf sebahagian dari budaya Malaysia.

Sebahagian besar tentangan terhadap konsep Bangsa Malaysia datang dari mereka yang tidak setuju dengan perubahan fokus ini yang mahu negara berpatah balik ke jalan lama di bawah Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sudah lapuk.

Tentangan terhadap pembentukan sebuah identiti kebangsaan yang bersandarkan kepelbagian budaya ini biasanya bersandarkan pemikiran “satu negara, satu budaya” yang menganggap bahawa pembentukan satu budaya tunggal adalah syarat utama dalam membentuk identiti nasional sebuah negara bangsa.

Satu dari retorik utama golongan ini adalah tuntutan untuk sekolah vernakular dimansuhkan.

Lihat Sabah dan Sarawak

Bagi mereka, sekolah vernakular dianggap sebagai suatu halangan utama bagi perpaduan negara dan pembentukan identiti nasional. Oleh itu sistem sekolah pelbagai aliran yang ada sekarang perlu diganti dengan sistem pendidikan satu aliran.

Dakwaan bahawa sekolah vernakular adalah penyebab perpecahan bukanlah satu perkara baharu. Ia adalah satu isu yang telah lama dimainkan sebelum era Malaysia Baharu lagi.

Mereka yang berpegang kepada pendapat sedemikian perlu melihat ke Sabah dan Sarawak untuk melihat gambaran yang lebih jelas.

Sabah dan Sarawak sering dikatakan sebagai negeri-negeri yang mempunyai tahap perpaduan kaum yang tinggi yang sepatutnya dicontohi oleh warga Semenanjung Malaysia.

Lebih menarik lagi, ini dicapai walaupun kedua-dua negeri mempunyai tahap kepelbagaian kaum dan budaya yang jauh lebih tinggi dari Semenanjung.

Apakah yang menyebabkan rakyat Malaysia Sabah dan Sarawak lebih bersatu berbanding rakyat Malaysia di Semenanjung?

Adakah kerana Sabah dan Sarawak tidak ada sekolah vernakular? Sudah tentu bukan.

Bukan sahaja Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) wujud di Sabah dan Sarawak, malah SJK(C) di kedua-dua negeri tersebut mempunyai peratusan tinggi dari kalangan murid Bumiputra.

Malah, banyak SJK(C) di kedua-dua negeri tersebut yang mempunyai majoriti murid dari kalangan masyarakat Bumiputera. Oleh itu, kewujudan sekolah vernakular jelas bukan punca renggangnnya perpaduan kaum di negara ini, kerana sekolah vernakular wujud di kedua-dua belah Laut China Selatan.

Jika ia punca kepada perpecahan kaum, mustahil hanya satu belah sahaja yang menerima kesannya.

Oleh itu, kita perlu berhenti menuduh kepelbagaian budaya amnya, atau sekolah vernakular khususnya, sebagai halangan kepada perpaduan negara dan pembentukan satu identiti nasional.

Kegagalan rakyat Malaysia, terutamanya yang berada di Semenanjung Malaysia, untuk mencapai tahap perpaduan adalah kerana politik toksik perkauman yang dimainkan sekian lama oleh ahli-ahli politik terutamanya mereka yang memegang tampuk kuasa semenjak Malaysia dibentuk.

Politik perkauman inilah yang harus dibanteras dalam era Malaysia Baharu sekiranya kita mahu bergerak ke hadapan dan meninggalkan era lama yang telah dicemari oleh ahli-ahli politik yang memainkan sentimen sempit sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa.

Mereka yang berkeras mahu menjadikan isu perkauman sebagai modal politik perlu ditolak sekiranya kita serius mahu membentuk satu Malaysia Baharu di mana rakyatnya bersatu-padu sebagai satu bangsa yang bergerak bersama untuk kepentingan dan kesejateraan seluruh warga Malaysia.


RAYNER SYLVESTER YEO berasal dari Sabah dan berketurunan Sino-Native kacukan Cina, Murut, dan Dusun. Kini menetap dan bekerja di Kuala Lumpur sebagai pegawai program di Gabungan Bertindak Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS