Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hukum dalang video seks tak kira setinggi mana kedudukan'
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 8:31 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Semua pemimpin sayap Wanita PKR negeri, kecuali Pulau Pinang, menggesa polis menghukum dalang yang menerbit dan mengedarkan klip video seks tanpa mengira kedudukan individu berkenaan.

"Kami menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap dalang yang mengarah dan mengupah, agar kerja kotor itu dijalankan, tanpa mengira setinggi mana pun kedudukan individu tersebut. Perbuatan seperti ini wajar dihukum.

"Apa akan jadi pada kedudukan dan maruah negara sekiranya pelanggaran undang-undang seperti ini tidak dihukum dengan wajar?" kata mereka dalam kenyataan media bersama hari ini.

Satu-satunya pemimpin Wanita PKR negeri yang tidak terlibat dalam kenyataan itu ialah Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria.

Kenyataan media itu turut menyorot siasatan polis yang mengesahkan ketulenan klip video seks berkenaan, namun hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

"Penggunaan strategi politik kotor sebegini mungkin akan berulang lagi dan sudah pasti ianya akan mengakibatkan pentadbiran negara terganggu dan pembaziran sumber berlaku sedangkan negara ini sedang berada dalam rangka pembinaan semula yang rancak.

"Cukup-cukuplah, kami tetap dengan pendirian yang tidak berganjak semenjak 20 tahun lalu. Dahulu kami bersatu menolak politik longkang, kini kami tetap berpendirian kukuh menolak politik kotor dan bersolidariti dengan individu yang dianiaya," kata kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, kuasa untuk melantik ketua Wanita PKR negeri adalah di tangan Ketua Wanita PKR - Haniza Talha, yang dilihat berada di dalam kem penyokong Azmin.

Pelantikan itu selalunya dibuat sama seperti pelantikan pengerusi PKR negeri, dengan melibatkan rundingan bersama ketua cabang.

Kesemua 13 yang menandatangani kenyataan media itu ialah:

1. Ginie Lim (Ketua Wanita Melaka)
2. Nurhanim Dato’ Mokhsen (Ketua Wanita Sarawak)
3. Chua Yee Ling (Ketua Wanita Perak)
4.Sharifah Norhayati Syed Omar (Ketua Wanita Terengganu)
5.Azlinah (Ketua Wanita Negeri Sembilan)
6.Rahamizon Abdul Ghani(Ketua Wanita Johor)
7.Nor Hanazalmah binti Mat Yusoff (Ketua Wanita Kelantan)
8. Idawatie binti Pariman (Ketua Wanita Wilayah Persekutuan KL)
9. Dr Daroyah (Ketua Wanita Selangor dan MPP)
10. Rahimah (Ketua Wanita Sabah dan MPP)
11. Suraiya Hashim (Ketua Wanita Kedah)
12. Gan Ay Ling (Ketua Wanita Negeri Perlis)
13.Sitarunisah Binti Ab Kadir (Ketua Wanita Pahang)

Pada 17 Julai lalu, pergesearan dalaman PKR memuncak apabila Anwar berkata menteri Azmin wajar meletakkan jawatan sekiranya terbukti terbabit dengan klip video seks berkenaan.

Membalas kenyataan Anwar, Azmin yang juga anggota parlimen Gombak meminta Anwar "melihat cermin" dan "bermuhasabah".

Pergeseran itu dilihat memecahkan PKR kepada dua kem berasingan antara presiden dan timbalan presiden parti itu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan klip video seks sejenis itu adalah tulen berdasarkan hasil analisis CyeberSecurity.

Abdul Hamid bagaimanapun menambah bahawa hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Abdul Hamid juga menyatakan bahawa penghasilan video berkenaan didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik dan individu yang terbabit dengan penghasilan klip video berkenaan menerima upah ratusan ribu ringgit.

Setakat ini, polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk Haziq dan pembantu politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Haziq sebelum ini mendakwa klip video itu dirakamkan di bilik hotel Azmin di Sandakan, Sabah, dua bulan lalu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan klip video itu sebagai plot jahat untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Lihat Komen
ADS