Paling Popular
Terkini

Susulan pendedahan laporan Ketua Audit Negara 2018 yang menyatakan peruntukan berjuta ringgit yang disalurkan kerajaan bagi membantu masyarakat India dikesan disalah guna, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas agar membuat siasatan.

Sumber SPRM mengesahkan bahawa agensi tersebut menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (Sedic) yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menguruskan dan memantau peruntukan kepada masyarakat India melalui NGO ketika pemerintahan BN.

"Ya, SPRM menubuhkan pasukan petugas selepas terima laporan Ketua Audit Negara 2018 termasuk siasat isu Sedic," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sedic telah dibubarkan dan dinamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) dan masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri kembali menjadi perhatian masyarakat India selepas laporan Audit Negara mendedahkan berlakunya ketirisan dan salah guna kuasa.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mengatakan bahawa Sedic di bawah pentadbiran terdahulu telah diberikan sehingga RM203.89 juta antara 2014 dan 2018 untuk menjalankan program pembangunan untuk meningkatkan tahap kehidupan masyarakat India miskin.

Bagaimanapun, laporan tersebut menyatakan bahawa tiada rekod atau pangkalan data untuk memantau perbelanjaan geran dan NGO penerima tidak mengikuti kriteria dari segi pemilihan.

"Terdapat juga kelemahan dalam pentadbiran dan konflik kepentingan dalam pengurusan SEDIC yang melibatkan ketua pengarahnya dengan seorang menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri," kata laporan itu.

Terdahulu, Malay Mail Online melaporkan berjuta ringgit peruntukan bagi kebaikan komuniti India Malaysia telah disalah tadbir oleh unit khas di bawah JPM.

Bekas Ketua Pengarah Mitra S Letchumanan pula dipetik The Star sebagai berkata bahawa laporan awal Jabatan Audit Negara menunjukkan bahawa kebanyakan geran tidak digunakan untuk menjalankan program untuk komuniti India.

"Sebaliknya, beberapa NGO membeli aset untuk organisasi mereka. Beberapa NGO adalah entiti yang dikendalikan oleh keluarga dengan pemegang jawatan yang terdiri daripada ahli keluarga.

"Ada di antara mereka yang telah hilang, dengan pemeriksaan menunjukkan bahawa NGO memberikan alamat palsu," katanya

Dia turut mengesahkan bahawa kira-kira 800 NGO telah menerima dana Sedic sebelum ini dan kebanyakannya "bermasalah".

Susulan itu, pada minggu lepas, Pemuda MIC, Pemuda PKR (AMK) dan seorang pemimpin DAP membuat tiga laporan SPRM berasingan.

Sementara itu, sumber daripada Mitra turut mengesahkan siasatan akan dimulakan secara menyeluruh di mana kesemua NGO 'bermasalah' yang menerima dana akan dipanggil untuk siasatan.

"Ia merupakan satu siasatan yang menyeluruh. Akan disiasat secara terperinci. Kesemua NGO yang menerima dana tidak boleh terlepas," katanya.

Lihat Komen
ADS