Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tanggapan PAS Kelantan bahawa kerajaan negeri itu lebih Islamik berbanding negeri lain adalah takrifan syok sendiri, kata Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa.

Hakikatnya, kata anggota Dewan Negara itu, jika diperhalusi keadaan semasa di Kelantan, tiada apa-apa pun hal yang boleh dibanggakan bagi menunjukkan negeri itu lebih Islamik.

"Ini satu eskapisme. Sebenarnya kalau ditimbang-timbang tak ada apa pun lebih Islamiknya di Kelantan berbanding negeri lain," katanya.

Jika dinilai berdasarkan jumlah kehadiran orang ramai ke masjid, menurut Husam, keadaan lebih baik dapat disaksikan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Malah, katanya, program di kedua-dua negeri itu lebih meriah berbanding Kelantan.

"Jadi pengakuan bahawa Kelantan lebih Islamik adalah satu perkara yang syok sendiri sahaja," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Ibu Bapa Kelantan 2019 di Kota Bharu, hari ini.

Majlis itu dianjurkan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Negeri lain bersih

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, yang dilaporkan berkata, isu empat remaja perempuan yang ditahan polis kerana disyaki memijak al-Quran adalah ujian kepada Kelantan sebagai negeri yang kuat dalam aspek Islamnya.

Kata Ahmad, isu tersebut tidak akan dibangkitkan sekiranya berlaku di negeri selain Kelantan.

Sementara itu Husam menegaskan tidak ada sebarang ukuran atau indeks petunjuk prestasi (KPI) membuktikan Kelantan lebih Islamik.

Bekas exco kanan Kelantan itu menambah, untuk membuat kenyataan sebegitu kerajaan negeri perlu mengukurnya melalui KPI agar piawaiannya tepat.


Baca Polis tangkap 4 remaja susulan kes pijak al-Quran


"Apa KPI untuk Kelantan? Kalau lombong haram wujud di Kelantan, ini tidak Islamik. Kalau pembalakan berleluasa di Kelantan, ini tidak Islamik.

"Kalau anak-anak syarikat kerajaan negeri mengalami kerugian kerana kegagalan urus tadbir, ini juga tidak Islamik.

"Kalau negeri lain lebih bersih tetapi Kelantan tak bersih, bermakna dari segi KPI itu, tidak Islamik.

"Cuma kita syok sendiri, kita kata kitalah paling Islamik," ujarnya.

Tambah Husam, semua pihak perlu bersikap realistik dan tawaduk dalam mentafsir perkara berkenaan bagi mengelakkan mana-mana pihak berasa lebih tinggi berbanding orang lain.

Katanya keadaan menjadi lebih buruk apabila ditanya bukti bagi menyokong dakwaan Kelantan lebih Islamik berbanding negeri lain, ia tidak dapat diketengahkan.

Untuk menyandarkan dakwaan itu hanya kepada keimanan, kata Husam, ia sukar dilakukan kerana aspek tersebut hanya diketui sebenar-benarnya oleh tuhan.

"Yang dalam dada, keimanan, hanya tuhan saja tahu. Orang lain tak tahu.

"jadi kalau yang dalam dada kita nak ukur, tak boleh," tegas Husam yang juga naib presiden Amanah itu.

Lihat Komen
ADS