Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO lancar dokumen kesan perladangan monokultur pada hutan, tanah adat

NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini melancarkan dokumen 'Tanah Kami yang Hilang – Hak tanah adat dan perladangan monokultur di Sarawak' di George Town, Pulau Pinang hari ini.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata penerbitan itu mengandungi analisis kritis tentang bagaimana pertanian monokultur menyebabkan penebangan hutan yang besar di Sarawak, dan pencabulan terhadap Tanah Adat Peribumi (NCR) sejak 1990-an.

Beliau berkata ia mengandungi dua kajian kes masyarakat Iban di Sungai Sebatuk, Batu Niah dan Sungai Buri, Bakong - kedua-duanya di Miri.

Dokumen itu boleh didapati di laman web rasmi SAM.

Sempena pelancaran itu, SAM turut mengadakan forum awam bersama wakil masyarakat Iban dari Sarawak.

Meenakshi berkata walaupun kesan pembalakan terhadap golongan peribumi memang dahsyat, kali ini perladangan monokultur melibatkan kehilangan sebenar tanah NCR mereka.

"Hutan tanah tanah perladangan kecil mereka dimusnahkan sepenuhnya oleh kegiatan penebangan hutan (land clearing).

"Hari ini banyak perkampungan peribumi di pedalaman Sarawak terpaksa mendapatkan bekalan air daripada hujan, kerana sungai mereka telah tercemar teruk.

"Pastinya kemusnahan itu turut menyebabkan kehilangan pendapatan," katanya lagi.

Katanya lagi, anggota Persatuan Penduduk Sungai Buri di Bakong dan Rumah Lachi di Batu Niah terus mengalami perkara ini dan ia dinyatakan dalam dokumen itu.

Katanya, masalah itu tidak dapat diselesaikan oleh sebarang bentuk pensijilan, maka reformasi perundangan dan dasar adalah cara terbaik.

"Walaupun kerajaan persekutuan mengumumkan ia akan menghentikan peluasan kawasan tanaman kelapa sawit, dokumen ini turut menekankan kebanyakan lesen untuk perladangan monokultur telah dikeluarkan antara lewat 1990-an hingga 2005," katanya.

"Bagaimanapun tidak semua kawasan yang dilesenkan itu telah dibangunkan. Maka dokumen ini menggesa kerajaan persekutuan mengambil langkah sepatutnya untuk melindungi hutan dan kawasan NCR di kawasan-kawasan itu, termasuk yang melibatkan ladang sawit," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS