Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bagaimana PBB, OIC benarkan tentera AS di Timur Tengah?

ULASAN | Kami kecewa dengan perkembangan terbaru berkenaan penempatan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi kerana ia mencetuskan ketegangan di Timur Tengah.

Pentagon dalam satu kenyataan Jumaat lalu berkata langkah itu akan memberikan "penghalang tambahan" dalam menghadapi "ancaman yang muncul dan boleh dipercayai" di rantau itu.

Bagi kami ini adalah campur tangan yang jelas terhadap kestabilan rantau Timur Tengah dan AS telah meningkatkan lagi ketegangan yang akan menyebabkan kemungkinan konfrontasi ketenteraan secara terbuka.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengesahkan bahawa negara itu akan menjadi tuan rumah pasukan tentera AS untuk meningkatkan keamanan dan kestabilan serantau. Namun kami berpendirian ia hanya mengundang keadaan yang bahaya yang berisiko mencetuskan konflik.

Satu analisis terperinci dalam sebuah buku yang baru terbit - dengan kajian selama enam tahun - berjudul Base Nation: How U.S. Military Bases Abroad Harm America and the World oleh David Vine mendedahkan fakta-fakta yang menakjubkan mengenai pangkalan tentera di seluruh dunia.

Terdapat sekitar 800 pangkalan tentera dengan ratusan ribu tentera kini berada di kira-kira 70 negara, ditambah dengan semua jenis latihan yang berlangsung tanpa had tempoh yang mengekalkan kehadiran ketenteraan AS, kini sedang beroperasi di seluruh dunia dengan perbelanjaan sekurang-kurangnya AS$100 bilion setahun.

Kami bimbang bahawa banyak pangkalan AS dibiayai oleh diktator. Satu kajian akademik telah mengenal pasti kecenderungan AS untuk mempertahankan diktator di negara tentera AS mempunyai pangkalan.

Terdapat banyak kerajaan kuku besi dan tidak demokratik yang kini menjadi tuan rumah untuk pangkalan AS walaupun dengan bantahan rakyat negara itu. Terdapat trend peningkatan sokongan AS kepada kerajaan diktator, antaranya kerana risiko penutupan pangkalan tersebut jika berlaku pertukaran kerajaan.

Kerjasama antara Arab Saudi dan AS tidak memberikan manfaat untuk memelihara keamanan rantau dan kestabilannya.

'Pertahanan' untuk industri ketenteraan

Sebenarnya Arab Saudi mendedahkan diri kepada risiko kebencian dan amarah umat Islam di seluruh dunia kerana kehadiran tentera negara barat di negara Islam dianggap sebagai intimidasi dan mencabar kedaulatan negara umat Islam.

Pada masa ini 500 anggota tentera AS akan ditempatkan di Timur Tengah, seperti yang telah diumum Pentagon bulan lalu.

Tanggapan bahawa kehadiran ketenteraan luar seperti AS boleh membawa kepada kestabilan di rantau itu tidak dapat diterima. Sebaliknya mungkin terdapat lebih banyak ketegangan.

Realitinya ialah operasi ketenteraan AS di rantau itu merupakan faktor terbesar yang mewujudkan ketegangan dan konflik. Rejim yang disokong AS bertentangan dengan kehendak rakyat. AS tidak pedulikan hak demokrasi rakyat negara itu tetapi menyokong rejim yang mematuhi kepentingannya.

Pada bulan Jun, Setiausaha Pertahanan AS Patrick Shanahan berkata beliau telah membenarkan penghantaran lebih 1,000 askar AS ke Timur Tengah.

Apa yang disebut sebagai "tujuan pertahanan" oleh AS sebenarnya tidak ada maksud lain selain alasan untuk perang.

Perang adalah perniagaan yang paling menguntungkan bagi sebuah negara yang menjual senjata. "Tujuan pertahanan" sebenarnya adalah pertahanan bagi industri ketenteraan AS.

Kehadiran ketenteraan AS di Arab Saudi yang bermula semasa perang Iraq dan berlangsung selama 12 tahun adalah kesilapan besar bagi kestabilan di sana.

Peranan PBB dan OIC

Dengan keadaan yang sangat sensitif dan kritikal di Timur Tengah, mengapa PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak memikirkan langkah-langkah untuk menghalang peningkatan kehadiran tentera asing.

Kami hanya boleh menyimpulkan bahawa Arab Saudi sentiasa bersedia untuk menjadi tuan rumah dan membiayai kehadiran ketenteraan AS yang semakin meningkat di negara-negara Teluk kerana mereka lebih berminat untuk mempertahankan kuasa mereka berbanding menjamin kestabilan rantau itu.

Arab Saudi berbelanja berbilion dolar untuk membiayai operasi ketenteraan asing di tanah mereka untuk memastikan mereka tetap berkuasa. Ia tidak ada kaitan dengan kestabilan.

Kehadiran AS di sana adalah untuk minyak dan meningkatkan keselamatan dan pembesaran Israel. Itulah sebab sebenar. Kestabilan hanya untuk mengekalkan kuasa regim yang memerintah dan yang tunduk kepada AS di Timur Tengah.

PBB dan OIC mesti membuat satu ketetapan atau undang-undang antarabangsa untuk mengharamkan sebarang penempatan tentera asing secara sepihak di mana-mana negara.

Dunia tidak akan aman jika ada negara yang boleh secara bebas menempatkan pasukan tentera untuk menyokong rejim yang patuh kepada kuasa asing.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan penyelaras kempen 'Tidak Kepada Perang'.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS