Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN | Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari Jumaat lalu dikejutkan dengan berita gangguan bekalan air akibat daripada masalah pencemaran yang berlaku di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air disebabkan pencemaran bau ini merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh kurang sebulan serta kali ketiga pada tahun ini. Bulan lalu, Syabas turut juga telah melaksanakan henti tugas di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat daripada masalah pencemaran ini.

Pada bulan Mac pula, bekalan air di negeri ini turut sama dihentikan akibat daripada kesan pencemaran di Sungai Klang.

Jika kali pertama berlaku, mungkin rakyat dapat memaafkan. Tetapi kejadian ini adalah kejadian berulang. Rakyat juga sehingga kini tidak mengetahui apakah tindakan yang telah diambil terhadap pelaku pencemaran sebelum ini, kini rakyat dihadapkan lagi dengan masalah yang sama.

Kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Anggota Parlimen Kuala Langat seperti disiarkan akhbar tempatan yang menyatakan pencemaran air di sungai-sungai di negeri ini adalah sesuatu perkara biasa serta kerajaan sukar untuk memantau perkara ini jelas menunjukkan sikap tidak acuh kerajaan terhadap perkara ini. 

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memberi kuasa yang besar kepada menteri. Malah hukuman bagi kesalahan di bawah akta ini juga adalah sangat berat.

Alasan kononnya Sungai Selangor sangat luas sehingga sukar untuk dibuat pemantauan adalah suatu alasan dangkal dan malas menteri dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan rakyat. 

Perkara ini adalah tanggungjawab menteri dan agensi di bawah Kementeriannya, maka apabila Menteri memberikan jawapan ini, jelas sekali menteri tidak meletakkan kepentingan rakyat dalam melaksanakan tugasnya.

Harus diingatkan, gangguan bekalan air di negeri Selangor yang mengganggu urusan seharian rakyat ini bukan sahaja berpunca daripada masalah luar jangka seperti ini, malah begitu kerap kali juga gangguan adalah disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual yang saban kali dijalankan.

Kerajaan negeri bertanggungjawab

Jika diikutkan jadual yang diedarkan pada minggu lalu, sepatutnya pada minggu ini akan berlaku lagi gangguan bekalan air pada skala besar akibar daripada proses penyelenggaran. Disebabkan pencemaran Sungai Selangor ini, maka penyelenggaran berjadual ini telah ditangguhkan.

Ini bermakna, rakyat akan tetap terpaksa menghadapi masalah bekalan air ini pada masa hadapan. 

Kerajaan negeri juga harus bertanggungjawab dalam perkara ini. Jika sebelum ini rakyat dimaklumkan sukar untuk kerajaan negeri memberikan perkhidmatan air dengan baik disebabkan pentadbiran pusat di bawah Barisan Nasional, sekarang ini baik di negeri atau pusat adalah di bawah Pakatan Harapan. 

Malah kesemua syarikat berkaitan pembekalan air di Selangor telahpun menjadi milik Kerajaan Negeri.

Gunakanlah kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat. Sudah masuk penggal ketiga pentadbiran Pakatan Harapan di Selangor, seharusnya tiada lagi alasan untuk perkara ini terus berlarutan.


RIZAM ISMAIL ialah ketua Pembangkang DN Selangor merangkap Adun Sungai Air Tawar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS