Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kada mahu golongan muda usahakan tanaman padi secara komersial

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mahu lebih ramai golongan muda menceburkan diri dalam bidang penanaman padi secara komersial di negeri ini kerana sektor pertanian adalah perniagaan yang menguntungkan.

Pengarah Bahagian Institusi Peladang KADA Ahmad Jazuli Hassan berkata pada masa ini, daripada sejumlah 45,000 keluarga petani dalam kawasan KADA hanya kira-kira 30 peratus golongan muda terlibat dalam sektor ini.

"Jumlah tersebut agak kecil berbanding jumlah keseluruhan petani dalam kawasan pertanian KADA.

“KADA kini dalam proses peralihan ke arah melahirkan petani yang lebih produktif iaitu menggalakkan lebih ramai penyertaan anak muda untuk mengusahakan tanaman padi dalam skala atau keluasan yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Bakat Baru di Tumpat, hari ini.

Ahmad Jazuli berkata penduduk di negeri ini perlu mengubah perspektif tentang aktiviti penanaman padi dengan menjadikannya sebagai pekerjaan utama yang menguntungkan berbanding sebagai satu kerja sambilan atau hiliran yang bermusim.

"Bagi mencapai tujuan itu petani perlu fokus dan mengusahakan sekurang-kurangnya 10 hektar tanaman padi semusim," katanya.

Katanya dengan keluasan itu petani mampu menjana pendapatan kira-kira RM25,000 semusim dan ia satu angka yang agak lumayan.

Dalam pada itu katanya peranan PPK perlu terus diperkasakan dalam usaha membangunkan ekonomi petani di Kelantan.

Beliau berkata sudah tiba masanya PPK sebagai agensi bersepadu perlu melebarkan peranannya dalam membangunkan sektor pertanian yang lain termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan yang diusahakan ahlinya.

Katanya terdapat 13 PPK seluruh negeri ini boleh berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil ladang tani ahlinya selain bertindak sebagai agensi yang berupaya menyediakan pasaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS