Paling Popular
Terkini

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mendakwa kekecohan yang berlaku di sebuah masjid ketika kuliahnya semalam ekoran kritikannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau berkata segelintir anggota parti itu tidak berpuas hati dengan kritikannya sebelum ini justeru cuba menyekat programnya.

"Saya kritik kepimpinan PAS dan mereka tak boleh jawab. Pertama berkenaan kritikan saya terhadap Ketua Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh yang kata wajib jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Saya cabar dia debat tetapi dia enggan.

"Kedua melibatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Rasulullah larang isytihar harta. Saya kritik dengan mengatakan ia hadis palsu.

"Oleh sebab itu orang PAS mula serang saya di Facebook. Jadi saya jangka mereka buat demonstrasi sebab tak boleh nak jawab dengan hujah saya, maka mereka kacau majlis saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bertempat di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, Melaka semalam, satu kumpulan masuk ke masjid bagi mendesak Wan Ji menghentikan kuliahnya.

Bantahan tersebut dianjurkan Gerakan Pembela Ummah negeri itu.

Bagaimanapun kuliah itu - yang bertajuk Islam sebagai agama penyelamat kepada umat - diteruskan selepas sejumlah anggota polis berjaya menyuraikan kumpulan yang membantah.

Hari ini satu surat dengan logo PAS yang mengarahkan pimpinan dan ahli parti negeri itu untuk mengadakan bantahan terhadap program itu, disebarkan di Facebook.

Menurut imej yang dikongsikan, surat bertarikh 6 Julai itu ditandatangani Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka Asri Shaik Abdul Aziz.

'Program diizin mufti Melaka'

Ketika dihubungi, Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek tidak mengesahkan secara jelas surat itu tetapi hanya berkata ia ditandatangani Asri.

"Maaf, itu memang Gerakan (Pembela Ummah) yang buat," katanya ringkas.

Sementara itu, Asri ketika dihubungi berkata pihaknya sedang meneliti punca sebenar kekecohan semalam dan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan kejadian itu.

"Nanti kita akan keluarkan kenyataan rasmi. Kami tengah dapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Ji mendakwa beliau sendiri melihat beberapa individu yang menyertai bantahan itu memakai pakaian berlogo PAS dan juga Umno.

Mengulas lanjut, beliau berkata program itu telah lama dirancang bersama Adun Durian Tunggal, Mohd Sofi Ab Wahab dengan kerjasama kariah masjid, serta mendapat keizinan Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil.

"Saya beranggapan tindakan itu hanya mahu menakut-nakutkan saya, tindakan nak ugut saya supaya saya tak teruskan kerja-kerja dakwah ini. Saya akan terus mengkritik perkara melibatkan agama, PAS, yang pada pandangan saya tidak tepat.

"Adun dan pihak masjid juga maklumkan bahawa mereka akan buat laporan polis berhubung kekecohan semalam," katanya lagi.

Wan Ji sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selepas menjalani hukuman itu selama tiga hari, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman terhadapnya sementara menunggu keputusan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Lihat Komen
ADS