WWF-Malaysia menggesa Indonesia untuk menerima telur dari badak Sumatera yang terakhir di Malaysia untuk kerja-kerja persenyawaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, WWF-Malaysia berkata kedua-dua negara harus bekerjasama di bawah program bersama itu untuk memastikan kelangsungan hidup spesies tersebut.
Katanya, ini bererti bahawa setiap badak Sumatera yang masih hidup digunakan untuk menyumbang kepada kelangsungan hidup spesis itu dan sama ada secara reproductif optimum atau tidak, menyumbang telur atau sperma atau sel.
Badak Sumatera adalah salah satu daripada lima spesies badak dan kini semakin pupus. Haiwan ini dianggap sudah pupus di hutan di Malaysia.
Usaha membiakkan spesies itu di Malaysia untuk menyelamatkannya daripada kepupusan setakat ini kurang berhasil.
Pada bulan Mei, satu-satunya badak Sumatera jantan - Tam - mati pada usia tua manakala keadaan kesihatan pasangannya, badak betina yang masih hidup - Iman - tidak dalam keadaan yang baik.
Berikutan itu, kerajaan Sabah telah cuba meyakinkan kerajaan Indonesia untuk bekerjasama dalam program pembiakan.
Memandangkan Iman masih menghasilkan telur, kerajaan Sabah mahu telurnya disenyawakan dengan badak Indonesia menjadi ibu tumpang.
Sekiranya kedua-dua kerajaan itu mencapai persetujuan, WWF-Malaysia berkata rangkaian WWF akan menawarkan sokongannya.
"Kami optimistik bahawa jika kita bertindak sekarang dan bertindak bersama, kepupusan genus dicerorhinus dapat dihalang," kata CEO WWF-Malaysia, Sophia Lim.
