Paling Popular
Terkini

Penahanan seorang hakim oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang kebal di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

"Itu menunjukkan tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang di Malaysia.

"Kita serah kepada SPRM dan kalau terbukti, kes itu akan dirujuk kepada peguam negara. Dalam kes ini, kami sebagai badan eksekutif tidak campur tangan.

"Malah, jika ada lagi kes lain terserah kepada SPRM atau mana-mana agensi untuk menyiasat dan mahkamah akan mengambil berat dengan menekankan soal integriti supaya bersih daripada sebarang rasuah," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan seorang hakim, semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan pendatang asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam kenyataannya berkata hakim terbabit bertugas di mahkamah sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor.

"Saya mengesahkan bahawa SPRM membuat tangkapan terhadap seorang hakim mahkamah sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor," katanya.

Hadir sama Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Dr Meor Abdul Aziz Osman.

Sementara itu Mohamed Hanipa mengakui kes berkenaan sedikit sebanyak mencalarkan imej institusi kehakiman.

"Sedikit sebanyak tercalar, tetapi Allah apabila seseorang itu ditahan dia belum boleh dianggap bersalah. Kita kena bersikap adil.

"Seteruk mana pun seseorang itu ditahan dia dianggap belum lagi bersalah, itu dalam aspek perundangan.

"Saya berharap mahkamah mengambil berat dalam soal ini, soal integriti kakitangan. Mereka perlu bersih dan dilihat bersih," katanya.

Terdahulu pada majlis penyerahan projek Kompleks Mahkamah Kota Bharu, beliau berkata pembinaan kompleks tersebut menelan kos RM106.42 juta siap dibina pada Mei lalu, iaitu lebih awal setahun daripada jangkaan iaitu April 2020.

Katanya, Kompleks Mahkamah empat tingkat berkenaan mempunyai 13 bilik bicara terdiri daripada tiga Mahkamah Tinggi, lima Mahkamah Sesyen dan lima Mahkamah Majistret.

Lihat Komen
ADS