Paling Popular
Terkini

Sudah 20 tahun berlalu semenjak Melaka dikurniakan status “Melaka Bandar Raya Bersejarah,” tetapi hari ini, dalam era aktivisme rakyat, gerakan menggali dan memelihara khazanah sejarah negeri Melaka menjadi bertambah penting.

Ketika kita sedang sibuk membincangkan perpecahan di dalam parti politik dan drama perkahwinan di dalam istana, China sedang mengembangkan sempadan dan pengaruh politiknya.

Projek terbesar China adalah membangunkan “Laluan Sutera Baharu” atau Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI). Projek ini telah menghubungkan lebih daripada 120 negara dan sekurang-kurangnya 4 bilion penduduk dunia. Malaysia juga tidak terlepas daripada perancangan ekonomi global China. Menurut Bai Tian, Duta Besar China ke Malaysia, pelaburan asing China di negara ini telah meningkat lebih daripada empat kali ganda.

Justeru tekanan dan pengaruh besar China terhadap ekonomi negara ini, membuat kita tertanya-tanya, apakah nasib khazanah warisan di Melaka dan komuniti yang menghuni di sekitarnya?

Dengan kesedaran ini jugalah, Melaka in Fact ditubuhkan pada 2017 oleh sekumpulan pencinta sejarah yang ingin mengumpul dan mendokumentasikan kekayaan sejarah Melaka sebagai rujukan untuk generasi akan datang. Di Melaka sendiri, kumpulan ini telah menjalankan pemetaan budaya melalui wawancara dari rumah ke rumah, mengumpul data, dan merekod memori budaya sosial. Maklumat ini kemudian dimuat naik ke platform di atas talian untuk dimanfaatkan oleh orang awam, termasuk para penyelidik dan pelajar.

A Famosa, gambar Wikipedia

Melaka in Fact bermula sebagai sebuah pejabat kecil di Melaka, kini ia telah berkembang menjadi komuniti sejarah dengan pengikut Facebook seramai 9, 235 orang. Melaka in Fact bertindak sebagai fasilitator di mana pelbagai komuniti di Melaka dapat berkongsi sejarah mereka dan berinteraksi secara langsung dengan golongan sarjana. Ini akan membentuk kefahaman sejarah yang lebih menyeluruh dan tidak terbatas kepada pemerhatian dan rekod dari sumber kolonial semata-mata.

Pada abad ke-15 Melaka adalah salah satu pelabuhan perdagangan terpenting di dunia, namun rujukan kita selama ini hanya tertumpu kepada Sejarah Melayu dan catatan beberapa orang sejarawan Portugis. Masih tidak banyak kajian dibuat berdasarkan sumber asing yang kurang diketahui seperti Arab, Parsi, Jepun, dan Turki.

Oleh itu, ini juga merupakan matlamat Melaka in Fact mengadakan persidangan sejarah antarabangsa berjudul “Melaka in the Long 15th Century” bagi mengumpulkan cendekiawan ternama dan sarjana muda dari serata dunia untuk sama-sama duduk di dalam sebuah majlis dan membentangkan kajian terbaru mereka mengenai Melaka. Bertempat di Ramada Plaza, Melaka, dari 2 hingga 4 Ogos 2019, persidangan ini akan menampilkan tokoh sejarawan seperti Leonard Andaya, Anthony Reid, Azyumardi Azra, dan Ahmat Adam. Persidangan ini juga penting dalam memperhaluskan bacaan dan mempelbagaikan sumber naratif sejarah Melaka.

Selain itu, kehadiran kuasa besar China di negara ini yang semakin rancak, turut mengajak kita untuk melihat kembali hubungan Kesultanan Melayu Melaka dan China kerana ia bakal memberi impak besar kepada Malaysia dalam hubungan ekonomi serantau. Terbaru Menteri Pertahanan kita menyatakan bahawa Malaysia “berkongsi sempadan” laut dengan China, padahal Malaysia patut tegas mempertahankan kedaulatan sempadannya dan tidak mudah tunduk kepada tuntutan dari China.

Sekiranya selepas ini China menuntut sebarang artifak atau penemuan harta karun yang ditemui di dasar Sungai Melaka dipulangkan kepadanya, atas dasar hubungan diplomatik beratus tahun, adakah kita akan sewenang-wenangnya memberi kebenaran?

Justeru, maklumat sejarah yang nadir seperti rekod Dinasti Ming tentang Melaka, harus dikongsi dengan masyarakat supaya mereka dapat melihat situasi politik antarabangsa dengan pandangan yang lebih luas dan kritikal.

Di Melaka in Fact, segala hasil wawancara, pemetaan budaya, dan penyelidikan dikongsi secara atas talian. Melalui laman Facebook Melaka in Fact sahaja, kita boleh lihat dokumentasi festival, upacara keagamaan, dan adat tempatan yang semakin dilupakan (misalnya, upacara naik bukit, perarakan ponggol lembu, dan amalan witriah ketika bulan Ramadan). Media sosial juga membuka ruang untuk orang awam berkongsi pendapat mereka. Ini secara tidak langsung akan mencetuskan wacana dan perdebatan.

Kalau belum puas hati, mereka boleh menghadiri siri syarahan sejarah Tawarikh Talk yang dianjurkan oleh Melaka in Fact setiap bulan di Kuala Lumpur dan Melaka. Ketika kali pertama siri ini diluncurkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Melaka in Fact menjemput Dr Jomo Kwame Sundaram sebagai penceramah, dan ia mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat. Terdekat akan diadakan syarahan Dr Imran Tajudeen dengan judul “Seni bina Masjid Di Melaka Dalam Konteks Sejarah Dan Nusantara” bertempat di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada 27 Julai, dan di 169 Jalan Tengkera, Melaka, pada 4 Ogos 2019.

Sepanjang dua tahun penubuhannya, Melaka in Fact telah bekerjasama dengan pelbagai NGO dan institusi dari dalam dan luar negara, antaranya Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Google Arts and Culture, UNESCO, Badan Warisan Malaysia, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), dan Muzium Kesenian Islam Malaysia. Lebih penting adalah sokongan daripada komuniti, antaranya Kampung Chetti, Kampung Morten, dan penduduk sekitar Tengkera yang telah sama-sama menyumbang dan bantu menggerakkan pameran dan syarahan anjuran Melaka in Fact di Melaka.

Apakah langkah seterusnya buat Melaka in Fact? Di sebalik tekanan daripada kuasa-kuasa besar, pembangunan urban, dan desakan keuntungan daripada industri pelancongan, kita percaya Melaka in Fact akan terus menyelidik, merekod, dan menyebarkan khazanah sejarah Melaka kepada semua.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS