Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemborong ikan, nelayan runsing Indonesia tahan kapal

Pemborong ikan dalam negara hari ini gelisah dengan isu penahanan bot dan nelayan Malaysia oleh penguatkuasa Indonesia di Zon Pengairan Malaysia kerana ia boleh menyebabkan berlaku kekurangan bekalan, sekali gus membuat harga ikan melambung tinggi.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock, berkata jika isu penahanan bot dan nelayan Malaysia berterusan, masalah tersebut akan berlaku.

Katanya dalam keadaan begitu juga negara mungkin terpaksa mengimport bekalan dari Thailand pula.

“Selain pendapatan terjejas, isu ini juga menyusahkan nelayan untuk keluar tangkap ikan,” katanya ketika ditemui di luar Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, hari ini.

Sing berkata demikian sebagai mengulas tangkapan terbaru Pengawas Perikanan Indonesia di kedudukan 37.4 batu nautika di tenggara Pulau Jarak, Lumut, pada 21 Jun lalu.

Kedudukan itu dikatakan berada tujuh batu nautika dari garisan sempadan kedua-dua negara.

Rayu jangan tangkap

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu seorang tekong bot nelayan dan dua kru ditahan penguat kuasa Indonesia dan dibawa ke negara jiran itu.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Ser Choon Ing, berkata masalah tersebut telah lama berlanjutan dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

"Masalah ini sudah lama, sejak tiga tahun lalu dan kita juga telah datang ke sini (Kedutaan Indonesia).

"Mulai Jan 2018 hingga Jun tahun ini sudah 23 buah bot kami ditahan. Dengan anggaran sebuah kapal berharga RM2 juta, kiralah berapa kerugian kami,” katanya.

Menurut Ser lagi, beliau juga pelik kenapa penguat kuasa Indonesia membuat tangkapan terhadap nelayan Malaysia ketika mereka tidak memasuki perairan Indonesia.

“Masalah sekarang mereka kata bot kita memasuki perairan Indonesia tetapi zon itu belum ditentukan milik siapa.

"Sebab itu kami rayu jangan tangkap dan tahan nelayan Malaysia.

“Kami juga difahamkan pada Oktober ini kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan bagi mencapai persetujuan kawasan perairan itu," katanya.

Justeru Ser berkata pihaknya menggesa Indonesia membebaskan bot serta nelayan yang ditahan, dan pada masa sama kerajaan kedua-dua negara mencari penyeleaian berhubung isu perairan Malaysia dan Indonesia.

Teoh Veisen

Sementara itu seorang nelayan yang ditemui, Teoh Veisen, 31, berkata kejadian tersebut membuatkan dia dan nelayan lain bimbang terhadap tahap keselamatan semasa mencari rezeki di laut.

Malah, kata nelayan dari Pangkor, Perak itu dia sentiasa berasa takut untuk keluar menangkap ikan.

“Pihak berkuasa Indonesia selalu masuk perairan negara kita dan tangkap nelayan kita. Jadi, bot dan nelayan kita nak pergi laut pun takut, takut kena tangkap,” katanya ringkas.

Terdahulu Persatuan Pusat Perusahaan Ikan Malaysia dan KLSCAH mengadakan bantahan di hadapan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur sebelum menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan.

Lihat Komen
ADS