Paling Popular
Terkini

Wan Ji Wan Hussin yang 'diserang' penyokong pembangkang di sebuah masjid di Melaka menganggap kenyataan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahya terhadapnya sebagai "liar".

Kata pendakwah bebas itu tidak wajar sama sekali Aminuddin membuat dakwaan kononnya ada pihak tertentu mendalangi kegiatannya.

Kata Wan Ji dia memang mempunyai slot tetap untuk memberikan ceramah atau tazkirah di Melaka dan ia bukanlah sesuatu yang baru.

Malah katanya dia memang mempunyai jadual memberikan tazkirah di negeri itu sejak 2015 lagi, iaitu sebelum PH menguasai Putrajaya dan Melaka.

“Dengan itu, dakwaan Aminuddin kononnya kehadiran saya berdakwah dan berceramah agama di Melaka itu sebagai terdapat dalang di sebaliknya adalah tuduhan liar yang beliau lakukan terhadap saya," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Wan Ji lagi sebagai seorang pemimpin pertubuhan yang menggunakan nama Islamik seperti Ummah dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sangat tidak wajar Aminuddin membuat tindakan sebegitu.

Katanya selama ini Aminuddin mendakwa perjuangannya berasaskan Islam, sedangkan Islam tidak pernah mengizinkan mebuat tuduhan liar ini.

Patut teruskan berhujah

Terdahulu Aminudin hari ini mempersoalkan mengapa Wan Ji masih boleh berceramah bebas walaupun disabitkan mahkamah atas tuduhan menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Aminuddin , tindakan Wan Ji yang berceramah di Masjid ar-Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, Melaka seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, situasi berkenaan membuatkannya merasakan penceramah itu tidak bergerak berseorangan dan ada pihak lain berada di belakangnya.


Baca Ada dalang di belakang Wan Ji, dakwa Ummah


Wan Ji sebelum ini pernah sepentas dengan Aminudin dalam program Analisis terbitan stesen TV Alhijrah.

Kata Wan Ji ada kemungkinan Aminuddn masih tidak berpuas hati terhadapnya kerana ketika itu dia gagal menjawab hujah yang disampaikan.

“Pun begitu, saya kira beliau tidak wajar mengambil pendekatan menyerang, tetapi lebih baik terus berhujah dengan kemampuan intelektual.

"Apatah lagi, al-Quran sendiri menjelaskan perbezaan perlu diatasi dengan hujah, dan ia adalah amalan para nabi secara turun-temurun,” katanya.

Justeru, Wan Ji berkata Aminuddin wajar menggunakan pendekatan wacana ilmu semasa berdepan dengan kepelbagaian pandangan, bukannya membakar sentimen kebencian sehingga membawa kepada serangan terhadap program dakwah Islam.

Katanya semasa memberikan tazkirah di Durian Tunggal itu, dia menekankan pentingnya umat Islam membina tamadun dengan membudayakan ilmu, meraikan perbezaan pendapat, menjaga imej baik Islam dan kembali kepada Islam melalui pendekatan pernah ditunjuk pada nabi.

"Kita tidak wajar mengambil pendekatan keras seperti Isis (kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria) atau mana-mana gerakan terorisme," katanya.

Lihat Komen
ADS