Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Melaka pertikai kesahihan izin buat Wan Ji
Diterbitkan:  Jul 23, 2019 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

PAS Melaka mempertikaikan kerajaan negeri yang mendakwa ceramah Wan Ji Wan Hussin di Alor Gajah pada 21 Julai lalu mendapat kebenaran daripada mufti.

Merujuk kepada surat kebenaran untuk majlis itu, PAS Melaka berkata, ia ditandatangani oleh timbalan mufti dan bukannya mufti negeri berkenaan.

Membangkitkan hal itu hari ini ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail.

"Apakah Wan Ji benar-benar mendapat tauliah daripada Mufti Melaka?

"Surat kebenaran untuk berceramah di Masjid ar-Rahman hanya dikeluarkan pada tanggal 19 Julai 2019 dan ditandatangani oleh timbalan mufti, bukannya mufti Melaka," katanya yang membacakan kenyataan tersebut.

Kelmarin berlaku kekecohan selepas solat Maghrib di masjid berkenaan apabila ada sekumpulan penyokong pembangkang membantah ceramah daripada Wan Ji.

Wan Ji ialah bekas anggota PAS yang kini banyak mengkritik parti berkenaan, terutama membabitkan pendekatan mereka yang dianggap keras.

Berlaku sedikit kekecohan

Menurut Wan Zahidi lagi, surat Jabatan Mufti Melaka itu juga menyatakan dengan jelas, permohonan kebenaran berceramah perlu dibuat sebulan sebelum majlis berlangsung.

"Apakah ada campur tangan politik atau tangan-tangan ghaib untuk membolehkan Wan Ji berceramah di masjid itu?" katanya.

Wan Zahidi juga menyalahkan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) Mohd Sofi Abdul Wahab, kerana menjemput Wan Ji yang sudah didapati bersalah menghina sultan.

Untuk rekod, sama seperti Wan Ji, Mohd Sofi ialah bekas pemimpin PAS Melaka yang kini menyertai Amanah. Beliau kini menjadi Adun Durian Tunggal dan exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam.

Wan Zahidi turut menyatakan rasa kurang senang PAS Melaka apabila agamawan dalam PH didakwanya berdiam diri terhadap isu Wan Ji.

"Apakah mereka juga turut meredai segala tindak tanduk Wan Ji?" katanya.

Dalam kenyataan itu juga PAS Melaka mendakwa bantahan mereka di masjid tersebut asalnya aman tetapi berakhir dengan "sedikit kekecohan".

Katanya kerajaan negeri juga bersikap double standard kerana pernah mengambil tindakan terhadap pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung kerana membenarkan pemimpin Umno berceramah di Masjid Tanah dan Alor Gajah.

"PAS Melaka kesal dengan sikap provokatif dan tidak akomodatif Mohd Sofi yang tidak mahu melakukan rundingan secara baik bersama Gerakan Pembela Ummah selaku penganjur.

"Bahkan dengan bahasa bersifat provokatif beliau mengarahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap peserta yang terlibat dengan bantahan itu," katanya.

Lihat Komen
ADS