Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
18 pegawai, kakitangan JPJ akan didakwa di Pulau Pinang

Sebanyak 18 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Butterworth dalam tempoh tiga hari mulai hari ini namun kemungkinan ia tidak melibatkan "ikan besar", kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Latheefa berkata enam daripada mereka akan didakwa hari ini, enam lagi esok dan selebihnya akan didakwa pada hari Jumaat.

Ditanya sama ada "ikan besar" - pegawai tinggi JPJ akan didakwa, Latheefa enggan mengulas.

Bagaimanapun, Latheefa berkata "Saya tidak tahu apa yang anda maksudkan dengan ikan besar, kerana hari ini, ikan mempunyai pelbagai saiz.

"Bagi kes JPJ, kami berhadapan dengan banyak lapisan, pegawai dan bukan pegawai tinggi," kata Latheefa pada sidang akhbar di George Town petang semalam.

"Ini merupakan kesinambungan siri pegawai penguatkuasa yang ditangkap, kes ini terletak di bawah bidang kuasa SPRM Pulau Pinang," tegasnya.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi oleh SPRM dalam menangkap suspek kerana jumlah kumpulannya yang besar, Latheefa berkata: "kami tidak dapat memberi komen mengenai operasi kami".

Sidang media yang diadakan di ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang itu turut dihadiri Pengarah Operasi SPRM Azam Baki.

Ini adalah lawatan pertama Latheefa ke Pulau Pinang sejak pelantikannya sebagai ketua SPRM dua bulan lalu.

Sejak April, 68 pegawai dan kakitangan JPJ, dua bekas pegawai SPAD (kini APAD) dan sembilan orang awam telah ditangkap oleh SPRM dalam operasi besar-besaran yang digelar "Ops Sarat."

Suspek didakwa menerima rasuah berjumlah lebih daripada RM80,000 sejak 2016, sebagai dorongan untuk tidak bertindak terhadap pemandu lori yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Lihat Komen
ADS