Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjelasan kenyataan IGP berkenaan 'AGC putuskan penahanan Azmin'
Diterbitkan:  Jul 25, 2019 9:48 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Semalam Malaysiakini memetik The Star yang pada asalnya melaporkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebagai berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) akan memutuskan sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali perlu ditahan berhubung kes video seks.

Hamid dilaporkan berkata demikian ketika sidang media di Melaka. Malaysiakini tiada wartawan bertugas di negeri itu.

Malaysiakini difahamkan laporan semalam tidak tepat dan the Star telah membuat pindaan terhadap laporan itu lewat malam semalam.

Rakaman audio sidang media yang diperoleh Malaysiakini menunjukkan Abdul Hamid ditanya pemberita sama ada Azmin akan ditahan jika adan bukti terhadapnya.

Bagaimanapun Hamid berkata: "Kenyataan beliau sudah diambil, di peringkat awal lagi sudah ambil."

Beliau kemudian berkata terpulang kepada AGC untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

Dalam sidang media sama, Abdul Hamid juga mempertahankan penahanan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebagai "mengikut undang-undang".

"Saya tidak akan memberi satu laluan sesuka hati (kepada polis) di mana mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang," katanya.

Beliau juga berkata kenyataan Farhash berkenaan penahanannya bersifat tidak adil dan hanyalah satu kenyataan politik.

Dalam sidang media itu, beliau juga berkata telah membuat laporan polis terhadap anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam, yang menggelarnya sebagai penipu berhubung siasatan video seks itu.

Minggu lalu, Abdul Hamid berkata Cybersecurity Malaysia mendapati video itu sebagai tulen, tetapi proses pengecaman wajah gagal untuk mengaitkannya dengan menteri itu.

Bagaimanapun Lokman mendakwa pakar Indonesia yang menggunakan kaedah Error Level Analysis (ELA) mengesahkan Azmin dan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai individu dalam video tersebut.

Haziq ialah bekas ketua pemuda PKR Santubong yang mendakwa dirakam bersama Azmin dalam video itu.

Beliau dan Farhash dibebaskan dengan jaminan polis Selasa lalu. Mereka antara beberapa lagi individu yang ditahan dalam siasatan kes itu.

Hamid juga sebelum ini mendakwa seorang pemimpin parti politik di belakang isu itu dan melibatkan upah ratusan ribu ringgit. 

Lihat Komen
ADS