Malaysiakini BERITA

Keluarga banduan di Singapura berdemo depan kedutaan

B Nantha Kumar  |  Diterbitkan

Kerajaan Singapura didakwa mengamalkan pilih kasih dalam soal perbicaraan dan sengaja mensasarkan warga Malaysia yang berada di penjara Singapura.

Demikian kata penasihat Lawyer for Liberty, N Surendran ketika mengulas tindakan kerajaan Singapura tidak membenarkan untuk berjumpa dengan beberapa rakyat Malaysia yang kini menghadapi menunggu hukuman gantung selepas disabitkan kesalahan berkaitan dadah.

"Ketika saya bersama peguam Mellissa (Sasidaran) ke Singapura untuk berjumpa banduan Malaysia, kami tidak dibenarkan, sebaliknya peguam-peguam negara lain seperti Australia dibenarkan.

"Ini satu tindakan pilih kasih oleh Singapura dan sengaja mensasasrkan banduan Malaysia," katanya kepada pemberita di laman Kedutaan Singapura, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Surendran mengetuai satu perjumpaan bersama wakil kedutaan Singapura di Kuala Lumpur dengan keluarga banduan-banduan Malaysia yang kini menunggu hukuman gantung di negara republik tersebut.

Selain keluarga mangsa turut hadir wakil Majlis Peguam Malaysia dan NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Amnesty International dan Dewan Peniaga Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Mereka turut menyerahkan satu memorandum minta pengampunan kepada empat rakyat Malaysia yang menunggu hukuman gantung.

Untuk rekod, empat rakyat Malaysia di penjara Changi Singapura dijangka menjalani hukuman gantung selepas petisyen permohonan pengampunan mereka ditolak oleh Presiden Singapura.

Mereka adalah antara 10 tahanan yang menunggu hukuman gantung selepas disabitkan kesalahan berkaitan dadah.

Rakyat Malaysia itu dikenali sebagai K Datchinamurthy, A Gobi, Abdul Helmi Ab Halim dan seorang yang hanya dikenali sebagai Rahmat.

Ini tidak termasuk, seorang lagi rakyat Malaysia, P Pannir Selvam, menerima penangguhan hukuman pada saat-saat akhir, sehari sebelum dia dijadualkan digantung mati di penjara Changi pada 24 Mei.