Di saat kontroversi yang menghimpit dirinya belum reda, Rihana Oksana Gorbatenko berkata dia tidak akan tunduk kepada provokasi dan akan terus mempertahankan maruah keluarganya.
Menerusi hantaran terbaru di Instagram awal pagi tadi, dia menyentuh soal artikel terbaru di media yang menurutnya tidak sah.
"Artikel-artikel terbaru yang disiarkan oleh media adalah tidak sah. Saya tidak akan tunduk kepada provokasi...
"Berdiam diri membawa maksud saya mengeyakan kebohongan. Anak, keluarga dan seluruh dunia sedang melihat saya, dan saya tak berhak untuk mengalah," kata bekas ratu cantik Moscow.
Walaupun tidak merujuk mana-mana laporan secara khusus, isu terbaru berkaitan dirinya ialah cabaran terhadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V agar melakukan ujian DNA bagi menjawab persoalan sama ada anak yang baru dilahirkan Rihana adalah zuriatnya.
Cabaran itu dikemukakan Liliya Nastaeva, kawan Rihana, seperti yang dilaporkan beberapa media antarabangsa termasuk The Daily Mail.
Ia susulan kenyataan peguam Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua yang berkata status anaknya yang diberi nama Tengku Ismail Leon Petra menjadi punca Rihana diceraikan dengan talak tiga.
Koh juga dilaporkan berkata Mahkamah Syariah Kelantan meluluskan penceraian itu pada 1 Julai lalu.
Katanya lagi, Rihana telah dimaklumkan tentang hal itu seminggu sebelumnya, iaitu pada 22 Jun, melalui peguamnya, Alexander Dobrovinsky & Partners Rusia, dan sijil penceraian diserahkan pada 20 Julai.
Berkenaan perkara itu, Rihana dalam hantarannya berkata dia berada di Rusia ketika mendapat tahu mengenai berita tersebut dan mendakwa tidak menerima sebarang sepina atau surat mahkamah.
"Keduanya, suami saya seorang Muslim yang baik, dia tidak akan membuat tindakan sedemikian tanpa pengetahuan saya.
"Undang-undang Islam menyeru untuk melindungi wanita. Seorang wanita ada hak, dan seperti manusia biasa, walau di luar negara, dia perlu mempertahankan kedudukannya agar menjadi contoh kepada wanita lain yang berdepan keadaan sama," katanya.
