Paling Popular
Terkini

Kerajaan negeri Pahang membatalkan tujuh projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Abd Rahim Muda.

Beliau berkata keputusan itu terpaksa dilakukan ekoran masalah infrastruktur seperti kos pengambilan tanah yang tinggi dan cadangan lokasi didapati tidak strategik.

"Projek yang dibatalkan ini adalah yang masih di peringkat rancangan, bermakna masih di tahap awal, bukan yang terbengkalai. Keputusan (untuk membatalkan) dibuat supaya tiada masalah lain timbul jika ia diteruskan.

"Antara lokasi terlibat ialah Kuantan dan Jerantut. Bagaimanapun keputusan ini tidak akan menjejaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat," katanya.

Abd Rahim berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Contoh PR1MA Pahang di Cherating, yang turut dihadiri Setiausaha Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Sharuddin Jali dan Pengarah Syarikat Y&S Mutiara Construction Sdn Bhd Ilias Mustafa.

Beliau berkata sejak dimulakan pada tahun 2013, PR1MA Pahang melibatkan 126 projek di 11 daerah dengan sasaran keseluruhan 39,987 unit rumah, yang mana 15,000 unit daripadanya sudah disiapkan.

Katanya, PR1MA Pahang yang ditawarkan pada harga bermula RM150,000 mendapat permintaan tinggi, selain Rumah Makmur yang juga inisatif kerajaan negeri kepada golongan kurang berkemampuan dengan harga RM80,000.

"Kerajaan negeri juga memantau pelaksanaan setiap projek PR1MA Pahang bagi memastikan tiada yang terbengkalai dan kualiti rumah yang dihasilkan adalah baik supaya tidak menyusahkan pembeli," katanya.

Mengulas mengenai PR1MA Pahang di Cherating, Abd Rahim berkata kontraktor terlibat ialah Y&S Mutiara Construction melibatkan 496 unit rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi, dengan jangkaan 108 unit siap pada 2021.

- Bernama

Lihat Komen
ADS