Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Isu perakuan sokongan kepada pemimpin utama PKR sebenarnya dimulakan dua naib presiden parti itu, Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin apabila 27 ahli majlis pusat pimpinan (MPP) bersama 14 ahli parlimen PKR memberi sokongan kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam isu video seks.

Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad memberitahu hal tersebut ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Pelik ada orang minta perakuan sokongan perlu dihentikan, sedangkan yang dimulakan oleh mereka sendiri

"Masih ingat tak, ikrar sokongan kepada Yb Azmin pada 17 Julai yang lalu? Jadi, siapa yang mula?" Soal Arafat.

Arafat yang juga ketua PKR Cabang Tambun turut menasihati Zuraida dan Tian Chua supaya tidak perlu panik dengan sokongan yang diterima presiden parti Anwar Ibrahim.

"Nasihat saya kepada Zuraida dan Tian Chua jangan panik. Sokongan kepada presiden parti satu perkara biasa.

"Ikrar sokongan setiap negeri adalah satu langkah positif untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PKR masih bersama Anwar yang merupakan bakal Perdana Menteri ke-8 Malaysia. Jadi, tidak perlu panik," katanya lagi.

Untuk rekod, pada 17 Julai lalu, 27 pemimpin kanan PKR termasuk 14 anggota parlimen mendesak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.

Mereka turut menandatangani ikrar sokongan kepada Azmin yang dikaitkan dengan isu video seks.

Ikrar sokongan itu disusuli dengan perakuan sokongan daripada sayap wanita kepada Azmin.

Sementara itu, Arafat juga menafikan bahawa perakuan sokongan tersebut sebagai "gerakan yang disusun".

"Saya boleh memberi jaminan bahawa kami tidak dipaksa. Kami buat secara rela dan dengan pengetahuan masing-masing kerana Anwar merupakan presiden PKR.

"Tidak ada keperluan untuk dipaksa, seperti kes ikrar sokongan kepada Azmin, di mana beberapa pemimpin memberitahu nama mereka dimasukkan tanpa pengetahuannya," tambah Arafat lagi.

Adun PKR itu mengulas kenyataan Zuraida pada Jumaat lalu bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan itu tidak semestinya mendukung Anwar dan menyifatkannya sebagai suatu "gerakan yang disusun."

Kata Zuraida, pihak yang menandatangani perakuan itu mungkin berbuat demikian kerana terpaksa.

"Ingin saya ingatkan bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan tersebut bukanlah sebenar-benarnya mendokong, tetapi mungkin didorong rasa terintimidasi dan dilakukan atas dasar terpaksa," katanya.

Zuraida turut mempersoalkan tujuan tandatangan pemimpin Cabang PKR dikumpulkan terhadap Anwar Ibrahim.

"Bukankah presiden parti tidak dicabar dalam pemilihan lalu? Sebagai anggota parti, tentulah pemilihan parti yang lalu jelas keputusannya.Maka apa justifikasi yang memerlukan tandatangan menyokong presiden ini?

"Ia hanya menimbulkan persoalan yang mencerminkan ketidakstabilan kedudukan presiden," katanya.

Sementara itu, Tian Chua pula mengecam tindakan anggota parti yang "berlumba-lumba" menunjukkan sokongan kepada Anwar, berkata ia hanya memburukkan lagi konflik dan tidak membawa kebaikan kepada PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil hari ini juga turut menafikan wujud sebarang elemen paksaan dalam perakuan sokongan terhadap Anwar yang dikeluarkan pemimpin cabang dan negeri parti itu kebelakangan ini

Lihat Komen
ADS