Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kementerian dan agensi kerajaan tidak melengah-lengahkan pelaksanaan Rancangan Malaysai Kesembilan (RMK9) sebaik sahaja dilancarkan pada 31 Mac ini.

Perdana Menteri berkata, semua kementerian dana agensi perlu membuat persediaan awal dan rapi untuk melaksanakan segera segala program dna projek.

Menurut beliau ketua-ketua setiausaha kementerian secara umumnya mengetahui perkara yang patut diberikan penekanan dan ini membolehkan langkah persediaan itu dilakukan.

"Tak usah lepas pengumuman RMK9 itu ambil masa dua, tiga, empat bulan untuk dilaksanakan," kata Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada perhimpunan bulanan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata apa yang penting ialah bukan saja isi kandungan RMK9 yang merangka hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun akan datang tetapi yang perlu juga diberikan tumpuan ialah aspek pelaksanaan yang berkesan.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata usaha melaksanakan rancangan pembangunan yang dirangka untuk jangka panjang perlu difikirkan dari sekarang bagi memastikan pelaksanaannya kelak mencapai tahap tertinggi.

Ucapan Perdana Menteri itu turut menyentuh pentingnya amalan berjimat-cermat dan sifat bersederhana di kalangan rakyat bagi membolehkan mereka menghadapi kehidupan seharian berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Abdullah menarik perhatian bahawa berjimat tidak semestinya bererti seseorang itu kedekut kerana ia sebaliknya melambangkan sikap sederhana yang sememangnya digalakkan oleh agama.

Bagaimanapun, beliau berkata amalan berjimat dan bersederhana itu tidak seharusnya mengekang seseorang daripada mencapai kecemerlangan baik di tempat kerja mahupun dalam aspek lain kehidupan mereka.