Kerajaan telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara mengkaji undang-undang dan peraturan yang berhubung dengan pemelukan agama Islam oleh orang bukan Islam.

Ini termasuk soal pemberitahuan kepada keluarga, hal pembubaran perkahwinan, hak menentukan agama kanak-kanak, hak jagaan anak, nafkah isteri dan anak, pewarisan dan penentuan status agama seseorang yang meninggal dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kerajaan sedar bahawa syarat dan prosedur bagi penukaran agama kepada agama Islam harus ditambah baik supaya tidak menyumbang kepada isu kontroversi itu.

Bagaiamanpun beliau menegaskan ini tidak bererti kerajaan bercadang meminda atau memansuhkan Perkara 121 (1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Beliau berkata Fasal (1) dan (1A) dalam Perkara 121 serta senarai (ii) dalam jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan, memberi definisi yang jelas mengenai pembahagian bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

"Ianya tidak sekali-kali memberi persoalan kepada tafsiran status Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Dengan itu kerajaan tidak bercadang buat masa ini untuk membuat pindaan kecil tambahan seperti yang dicadangkan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kuasa Mahkamah Syriah

Menurut laporan Bernama, Mohamed Alwi meminta penjelasan sama ada kerajaan bersedia untuk mengkaji usaha memperkukuhkan tafsiran bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan dengan menambahkan beberapa pindaan kecil bagi memperjelaskan pindaan perlembagaan 121 (1a) dan urusan-urusan berkaitan dengan pembahagian pusaka, kahwin campur dan tanah wakaf.

Nazri berkata memandangkan kedua-dua mahkamah itu wujud secara berasingan dan tidak berkaitan antara satu sama lain, isu semakan semula oleh Mahkamah Sivil terhadap keputusan Mahkamah Syariah tidak timbul.

"Kuasa pemantauan semula merupakan kuasa pemantauan Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh badan-badan bawahannya dalam sistem mahkamah tersebut, sama ada sistem Mahkamah Sivil mahupun sistem Mahkamah Syariah," katanya.

Menurut Nazri, kontroversi yang timbul daripada kes-kes yang berhubung kait dengan status agama seseorang bukanlah berpunca daripada Perkara 121 (1A) sebaliknya disebabkan beberapa faktor termasuklah kurangnya pengiktirafan serta penggunaan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kerajaan yakin bahawa kontroversi dapat dielak dan keadilan boleh dicapai jika peruntukan sedia ada diiktiraf dan digunakan dengan sepenuhnya. Peruntukan perlembagaan atau undang-undang tidak harus dipinda kerana pihak-pihak tidak menggunakan peruntukan yang ada sepenuhnya," katanya.

Nazri berkata urusan mengenai pusaka, kahwin campur dan tanah wakaf yang berkaitan dengan agama Islam adalah tertakluk kepada undang-undang Syariah negeri.