Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abang bunuh adik gara-gara bil elektrik
Diterbitkan:  Jul 29, 2019 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Pertengkaran mengenai bil elektrik yang tertunggak berakhir dengan tragedi apabila seorang abang membunuh adik kandungnya dalam kejadian di Pantai Remis di Beruas, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata pihaknya menerima laporan mengenai satu pergaduhan di hadapan sebuah kedai makan di Pengkalan Baru, Pantai Remis kira-kira 11.40 malam tadi.

Katanya semasa anggota polis tiba di lokasi, mangsa Hussain Mai Din, 35, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berada dalam keadaan separa sedar di kaki lima kedai makan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

Menurut Muhammad Hanif, hasil temu bual dengan ibu kedua-dua beradik itu yang juga saksi kejadian, insiden berpunca apabila suspek bertengkar dengan ibunya tentang bil elektrik kedai makan yang tertunggak.

"Mangsa yang terdengar percakapan kasar abangnya terhadap ibu mereka, terus datang dan memukul si abang yang ketika itu sedang mengemas dapur kedai makan dengan senjata tajam.

"Mangsa kemudian melarikan diri ke luar rumah sebelum dijumpai terbaring dalam keadaan kepala berlumuran darah. Ibu mangsa juga mengalami kecederaan ketika cuba meleraikan pergaduhan dan telah menerima rawatan di klinik kesihatan," kata Muhammad Hanif dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata berkata suspek yang berumur 37 tahun serta bekerja sebagai pembantu kedai makan berjaya ditangkap di lokasi dan Pasukan Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala si mati dipercayai kesan tetakan/tikaman senjata tajam.

Katanya bedah siasat dijalankan pagi ini di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pagi tadi dan suspek direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS