Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak Kelantan di kota hidupkan semula acara sorak ayam

Setelah sekian lama menyepi, pertandingan sorak ayam yang berasal dari Kelantan kini dihidupkan semula oleh anak-anak negeri itu yang menetap di ibu kota.

Malaysiakini menjengah ke acara itu, yang diadakan di Lembah Jaya, Ampang, yang menyaksikan kira-kira 30 pemilik bertanding ayam jantan siapa yang paling riuh dan banyak kokokannya.

Setiap ayam disusun di atas kayu yang ditandakan dengan nombor. Kakinya diikat bagi mengelakkan ayam tersebut melarikan diri.

Sebaik pengadil memulakan pertandingan, para pemilik akan berusaha bersorak bagi menarik perhatian ayam masing-masing untuk terus berkokok.

“Galak, kokok Galak, ” jerit pemilik ayam bernombor 17 dalam loghat Kelantan.

Selain Galak, nama-nama seperti Jalak dan Manisan Hangus diberikan oleh pemilik ayam dan ia biasanya bergantung kepada warna dan jenis bulu ayan tersebut.

Beberapa pembantu akan memerhatikan ayam yang berkokok dan memaklumkan kepada pengadil yang mencatat jumlah di buku catatannya.

Tamat 15 minit, jumlahnya akan dikira dan ayam dengan kokokan terbanyak - biasanya melebihi 30 kali atau disifatkan berjaya mendapat 'cing' - diumumkan sebagai pemenang.

Tolak unsur judi

Bagaimanapun bukan sebarang ayam jantan yang boleh menyertainya. Menurut pengadil Rashidi Kaldin, 48, ayam jantan yang ingin masuk bertanding mestilah dikacuk, mempunyai balung, bercuping putih dan berkaki hitam atau hijau.

Katanya lagi, pertandingan itu juga tiada unsur judi kerana setiap peserta dikenakan bayaran minimum bagi tujuan penyediaan hadiah.

"Allahyarham Nik Aziz Nik Mat dulu haramkan sorak ayam sebab libatkan judi. Kami tak bermain judi, yuran penyertaan yang penganjur dapa untuk beli hadiah.

“Yuran penyertaan bergantung kepada barang yang diperlukan penganjur dan hadiah yang akan diberikan seperti toto, seterika, baju...Untuk seronok sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.

Rashidi yang berasal Melaka berkata, minatnya terhadap sorak ayam timbul selepas berkahwin dengan orang Kelantan.

“Ayah saya gemar memikat burung, bila dah meningkat dewasa saya mula mencari hobi, biasanya permainan ini kerana ikut keturunan. Sehinggalah saya bernikah dengan orang Kelantan dan mula tertarik dengan pertandingan sorak ayam dan pada masa sama saya masih memikat burung,” katanya.

Berkumpul seminggu sekali

Bagi pemilik ayam Zahari Yunus yang berasal dari Bachok, dia bersama rakan-rakan yang berasal dari serata Kelantan akan berhimpun di Lembah Jaya pada hujung minggu untuk menyertai sorak ayam.

Zahari Yunus

“Hari ini ada kawan-kawan yang tinggal di Kuala Lumpur tapi berasal dari Tanah merah, Tumpat, Gua Musang serata jajahan lain. Kita nak hidupkan semula aktiviti kesenian ini.

“Biasalah benda lama kita naikkan kembali, kalau dulu ada pertandingan merbah jambul dan merbuk. Sekarang musim sorak ayam,” kata pekerja swasta berusia 51 tahun itu lagi.

“Ayam ini saya beli dengan harga RM150, hari ini dia kalah sebab berkokok 20 kali sahaja,” katanya dalam loghat Kelantan sambil ketawa.

Halizan Yasin

Seorang lagi pemilik ayam Halizan Yasin, 47, berkata dia baru mula berjinak-jinak dalam dunia sorak ayam sejak lima bulan lalu.

Menariknya, dia juga berasal dari Melaka dan minat itu mula timbul selepas berkahwin dengan orang Kelantan.

Katanya, penjagaan ayam untuk pertandingan itu jauh lebih mudah berbanding ayam laga yang agak rumit.

"Cuma perlu mandi seminggu sekali, letak dalam sangkar dan bagi makan. Ayam laga agak leceh kerana perlu dimandikan setiap hari dengan air kunyit untuk jadikan dagingnya keras.

“Saya hanya keluarkan modal RM20 sebulan untuk beli dedak. Tapi ayam ini akan terus berkokok jika terlihat cahaya kerana ini ayam hutan kacuk kampung,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS