Malaysiakini
BERITA

Isu video seks: Sekarang bola di gelanggang AG, IGP

Hassan Karim

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jul 2019, 3:30 pagi

ULASAN | Setahun yang lalu pada 16 Julai 2018 ketika mengangkat sumpah sebagai seorang ahli Dewan Rakyat bagi parlimen Malaysia, sebaik sahaja selepas pilihanraya umum ke-14, saya telah berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu undang-undang utama negara ini yang asas pentingnya ialah bahawa sesungguhnya negara ini hendaklah bergerak atas landasan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu saya menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh rakyat berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sebagai seorang ahli parlimen saya juga menuntut Peguam Negara Tommy Thomas yang berperanan juga sebagai pendakwa raya supaya menunaikan tanggungjawabnya di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan adil dan saksama, tanpa takut dan pilih kasih untuk melakukan pendakwaan bagi setiap kesalahan jenayah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sebagai seorang ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat dan sebagai seorang pengamal undang-undang selaku peguambela dan peguamcara, saya juga menuntut Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador supaya menjalankan tugas kepolisannya secara profesional berdasarkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan tanpa memilih bulu.

Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu, negara kita telah dikejutkan dengan isu video seks sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan dalam kabinet kerajaan persekutuan.

Beberapa tangkapan untuk tujuan siasatan di bawah Kanun Acara Jenayah telah dilakukan oleh pihak polis.

Dari segi fakta yang ada setakat ini di hadapan mata rakyat Malaysia dan dunia, bahawa sesungguhnya ada seorang saksi yang material dan teramat penting yang telah mengaku tanpa paksa dan membuat pengakuan secara sukarela bahawa dialah yang menjadi salah seorang pelaku dalam dakwaan kes hubungan seks yang di dalam statut Kanun Keseksaan Malaysia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan sebat.

Masa telah lebih dari cukup untuk pihak polis PDRM menyelesaikan kertas siasatannya dan menyerahkan kepada pendakwa raya untuk memulakan tindakan pendakwaan.

Tidak perlu seseorang untuk menjadi peguam atau pakar undang-undang terlebih dahulu untuk memahami bahawa bola sekarang berada di gelanggang ketua polis negara dan juga peguam negara merangkap pendakwa raya.

Kedua-dua ketua agensi kerajaan tersebut yang diamanahkan oleh perlembagaan persekutuan bagi pihak rakyat dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugasnya di bawah undang-undang bagi perlaksanaan sistem keadilan di Malaysia menurut asas kedaulatan undang-Undang dan keluhuran perlembagaan.

Jika pihak ketua polis negara dan peguam negara serta pendakwa raya gagal dalam menjalankan tugasnya berhubung isu video seks itu maka mereka berdua telah melakukan satu kesalahan besar di bawah undang-undang.

Dalam hal ini, akhir sekali saya menuntut Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri dan pengerusi gabungan PH di mana saya salah seorang ahli parlimen PH yang telah berjaya bersama-sama membentuk kerajaan baru PH dengan janji kepada rakyat untuk mengembalikan the rule of law atau kedaulatan undang-undang di Malaysia ini supaya tanpa bertangguh-tangguh melaksanakan proses keadilan seperti yang telah dijanjikan itu dengan jujur dan adil, tanpa sebarang campur tangan dan gangguan terhadap proses pentadbiran sistem keadilan dan undang-undang di negara ini bersabit episod video seks yang telah memalukan lebih 32 juta rakyat Malaysia di mata masyarakat dunia.

Kesimpulannya, masa telah sampai untuk perdana menteri, peguam negara, pendakwa raya dan ketua polis negara membuktikan kepada kami semua rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa bahawa sesungguhnya anda semua telah menjalankan tugas dan amanah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia kerana berani menegakkan kedaulatan undang-undang.


HASSAN KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang dan bekas pengerusi MPN PKR Johor.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.