Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Orang Asli jawab MB Perak tentang isu tanah adat
Diterbitkan:  Jul 30, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas mengingatkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bahawa terdapat keputusan mahkamah yang telah mengiktiraf tanah adat Orang Asli di negeri itu.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Faizal semalam yang mengatakan Perak tidak mengiktiraf sebarang tanah adat bagi mana-mana kumpulan etnik di bawah perlembagaan negeri, termasuk Orang Asli.

"Terdapat banyak kes mahkamah yang mengiktiraf hak tanah Orang Asli tetapi ada yang khusus di Perak. Ini diputuskan pada tahun 2015, "kata Nicholas kepada Malaysiakini.

Nicholas merujuk kepada kes mahkamah pada 2015 yang melibatkan Orang Asli dari Kampung Kuala Senta di Bidor, Perak.

Beliau menjelaskan bahawa hakmilik tanah untuk sebahagian tanah Orang Asli di kawasan itu, yang tidak diwartakan, telah diberikan kepada sebuah syarikat yang mengusir etnik berkenaan.

Mereka kemudian membawa kes itu ke mahkamah dan pada Oktober 2015 Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa sebidang tanah seluas 2209.5 hektar berhak dimiliki masyarakat Orang Asli berkenaan.

"Kerajaan salah untuk memberi tanah kepada syarikat itu, dan perintah (mahkamah) itu adalah untuk membatalkan hak milik tanah dan memberikan kembali kepada Orang Asli dan mewartakan tanah itu sebagai rizab Orang Asli.

"Itu pada tahun 2015, dan sehingga kini kerajaan negeri tidak bertindak atas keputusan itu.

"Itu mungkin mengapa menteri besar begitu jahil terhadap undang-undang. Beliau mesti mengikut undang-undang. Beliau memerlukan masa untuk faham dan mengikut undang-undang, walaupun dalam negeri sendiri,"kata Nicholas.

'Kenapa exco PKR, DAP berdiam diri?'

Beliau berpendapat Ahmad Faizal mungkin mendapat nasihat daripada mereka yang mempunyai motif tersembunyi atau tidak tahu mengenai undang-undang.

Nicholas juga menyatakan kekecewaannya apabila exco dari parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan DAP, tidak bersuara membantah kenyataan Ahmad Faizal mengenai tanah adat.

"Saya tidak faham mengapa exco PKR dan DAP berdiam diri dengan semua ini. Tentunya mereka tidak menyokong apa yang dikatakan dan dilakukan oleh menteri besar," katanya.

Sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya, PH sebelum ini berjanji melaksanakan cadangan daripada laporan inkuiri mengenai hak tanah asli yang disediakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam) pada tahun 2013.

PH berjanji laporan itu akan dibawa untuk dibahaskan di parlimen pada tahun pertama pentadbiran mereka, namun perkara itu tidak berlaku.

Laporan Suhakam mengenai hak tanah pribumi pada 2013 menggariskan 18 cadangan berkaitan enam isu utama.

Enam isu yang diketengahkan dalam laporan itu ialah pengiktirafan hak tanah adat pribumi, ganti rugi tanah, menangani masalah pembangunan tanah dan ketidakseimbangan, menghalang kehilangan tanah adat penduduk pribumi di masa depan, menangani isu pentadbiran tanah, dan mengiktiraf tanah sebagai pusat kepada identiti Orang Asli.

Lihat Komen
ADS